Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

WARGA USM SEMARAK SEMANGAT PATRIOTISME, KIBAR 1,000 JALUR GEMILANG

PULAU PINANG · 9 September 2026

Hampir 1,000 warga Universiti Sains Malaysia (USM) daripada 32 kontinjen menyemarakkan semangat patriotisme menerusi Program Jalan Laju (Brisk Walk) 1,000 Jalur Gemilang USM 2026 yang berlangsung di sini hari ini.

Program khusus bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia itu turut mengangkat Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara, kedaulatan dan kecintaan kepada tanah air, selain menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, program berkenaan bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal, malah menjadi wadah menyatukan warga universiti melalui semangat patriotisme, kebersamaan dan kecintaan kepada negara.

Menurutnya, pembudayaan gaya hidup sihat penting dalam memastikan warga universiti berada dalam keadaan baik dari aspek fizikal, mental dan emosi, sekali gus membolehkan mereka menyumbang secara optimum kepada kecemerlangan universiti.

“Dalam konteks ini, penganjuran Program Jalan Laju (Brisk Walk) 1,000 Jalur Gemilang juga membawa mesej yang amat signifikan kepada seluruh warga universiti dan ia menyatukan semangat patriotisme, kebersamaan serta kasih kepada negara,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, khususnya Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf (UPKS), serta semua pihak yang terlibat dalam merancang dan menjayakan program tersebut.

Turut hadir ke majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran, TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Pendaftar, Mohd Azizudin Mohd Shariff dan pegawai-pegawai utama universiti.

Program yang berlangsung di tapak parkir kenderaan di hadapan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM itu dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM bersempena Sambutan Hari Malaysia 2026.

Program tersebut turut membuka ruang kepada warga USM daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi dan mengukuhkan hubungan dalam suasana santai, positif serta penuh muhibah.

Lebih menarik, 25 peserta daripada Kelab Jasa Budi, iaitu Kelab Pesara USM, turut hadir sebagai kontinjen jemputan bagi memeriahkan acara berkenaan.

Terdahulu, Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia pada 1963, dengan program berkenaan menjadi antara inisiatif USM dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan warga kampus.

Teks: Anis Solehah Zulkifli, Intern@MPRC, USM
Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq