USM, WOU PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DALAM PEMBANGUNAN STACKABLE DEGREE, JARINGAN INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN ODL
Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) memperkukuh kerjasama strategik dengan Wawasan Open University (WOU), khususnya dalam pembangunan program Stackable Degree, jaringan industri dan perkongsian kepakaran teknologi pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL).
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang kolaborasi akademik, meneroka pendekatan pembelajaran fleksibel serta memperkasa penyampaian pendidikan tinggi yang lebih responsif terhadap keperluan industri dan perkembangan teknologi semasa.
Delegasi USM diketuai Timbalan Dekan (Teknologi dan Sokongan Pembelajaran) PPPJJ, Dr. Chua Hang Kuen, bersama Pengarah Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), Prof. Madya Ir. Dr. Syamsul Rizal Abd. Shukor dan Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPPJJ, Dr. Nik Norliati Fitri Md. Nor.
Turut menyertai delegasi berkenaan ialah Pegawai Pusat Kualiti Akademik USM, Noor Saerah Idris serta beberapa pegawai PPPJJ. Ketibaan delegasi USM disambut Timbalan Naib Canselor (Akademik) WOU, Prof. Madya Ts. Dr. Sean Tan Koon Tatt, bersama barisan pengurusan dan warga akademik universiti berkenaan.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah potensi pembangunan dan pelaksanaan program Stackable Degree yang menyediakan laluan pembelajaran lebih fleksibel menerusi pendekatan modular, sekali gus membolehkan penawaran program disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja.
Perbincangan turut memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan universiti-industri bagi memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan, selari dengan perkembangan sektor pekerjaan dan keperluan tenaga kerja masa hadapan.
Selain itu, kedua-dua institusi turut berkongsi pandangan mengenai pemanfaatan teknologi terkini dalam pembelajaran ODL, termasuk inovasi penyampaian kandungan, pengukuhan sokongan pembelajaran digital serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
PPPJJ USM melihat kerjasama dengan WOU sebagai platform strategik untuk menggabungkan kepakaran, memperluas jaringan akademik dan meneroka pelaksanaan inisiatif bersama yang mampu memberikan manfaat kepada pelajar, warga akademik serta pihak industri.
Dalam pada itu, PPPJJ USM merakamkan penghargaan kepada pihak WOU atas sambutan mesra, perkongsian ilmu dan layanan baik sepanjang kunjungan berkenaan.
Kerjasama berkenaan diharap dapat diteruskan menerusi pelbagai inisiatif bersama yang menyokong transformasi pendidikan tinggi, memperluas akses kepada pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh pembangunan ekosistem pendidikan fleksibel yang dinamik dan berdaya saing.