Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM WAKIL TUNGGAL KPT RANGKUL ANUGERAH PLATINUM PERSIDANGAN RKB 2026

SHAH ALAM · 29 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta kejayaan membanggakan apabila merangkul Anugerah Platinum pada Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2026 di Shah Alam, Selangor.

Lebih membanggakan, USM merupakan wakil tunggal di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyertai persidangan berprestij tersebut, sekali gus mengharumkan nama universiti dalam agenda reformasi birokrasi di peringkat nasional.

Kejayaan ini diperoleh menerusi projek inovasi bertajuk “Mempercepatkan Proses Kelulusan Penempatan Silang daripada 8 Hari Bekerja kepada 2 Jam” yang dibentangkan oleh Encik Erman Kamal bin Mustafa Kamal, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia (BSM), USM. Delegasi USM yang turut hadir ke sesi pembentangan ini adalah Encik Mohd Azizudin Bin Mohd Shariff, Pendaftar, Encik Mohd Zulkarnain bin Mohamad Tajulariffin, Timbalan Pendaftar dan Encik Mohd Jalaludin Bin Azizan, Ketua Penolong Pendaftar.

Persidangan yang menghimpunkan pelbagai projek inovasi reformasi birokrasi daripada agensi dan organisasi seluruh negara ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Sebanyak 159 projek telah mengambil bahagian, namun hanya 30 projek berjaya menerima pengiktirafan Platinum, menjadikan kejayaan USM satu pencapaian yang amat signifikan.

Projek yang diketengahkan ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan proses kelulusan penempatan silang melalui pendekatan inovatif yang membolehkan tempoh kelulusan dipendekkan daripada lapan hari bekerja kepada hanya dua jam. Inisiatif ini bukan sahaja mempercepatkan urusan pentadbiran, malah meningkatkan kecekapan, ketangkasan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan pengurusan sumber manusia.

Pencapaian ini membuktikan bahawa reformasi birokrasi bukan sekadar usaha mengurangkan prosedur dan tempoh masa pemprosesan, tetapi turut melibatkan perubahan minda, budaya kerja serta pendekatan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif dan berorientasikan hasil.

Kejayaan tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh tadbir urus universiti melalui inovasi, pendigitalan proses kerja dan penambahbaikan berterusan, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cekap, tangkas dan berimpak tinggi.

Pengiktirafan Platinum ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada warga USM, khususnya Pegawai Tadbir Universiti, untuk terus meneroka pendekatan inovatif dalam meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan universiti.

Kejayaan USM sebagai penerima Anugerah Platinum dalam persidangan ini membuktikan bahawa inovasi yang berteraskan keperluan sebenar organisasi mampu menghasilkan perubahan signifikan dan memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan awam negara.

Teks: Bahagian Sumber Manusia (BSM), USM
Foto: Bahagian Sumber Manusia (BSM), USM