Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM TURUN PADANG SANTUNI 429 CALON SARINGAN AKHIR SISWA SULUNG MELALUI LAPANGAN SISWA SULUNG 2026

USM PULAU PINANG · 2 September 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperlihatkan komitmen dalam memperkasa agenda pembangunan dan kebajikan mahasiswa menerusi pelaksanaan Lapangan Siswa Sulung USM 2026 yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 1 September 2026.

Program tersebut melibatkan 26 ahli panel yang turun padang ke 13 negeri serta Wilayah Persekutuan bagi menyantuni serta mendekati seramai 429 calon saringan akhir Siswa Sulung USM di seluruh negara.

Lapangan Siswa Sulung 2026 bukan sekadar kunjungan, sebaliknya merupakan pendekatan turun padang untuk mendengar, memahami, dan mengenal pasti realiti serta cabaran yang dihadapi mahasiswa, khususnya dari aspek kebajikan, kewangan, akademik, persekitaran pembelajaran, dan pembangunan diri.

Pendekatan ini turut membuka ruang kepada pihak universiti untuk mendapatkan gambaran yang lebih dekat tentang pengalaman mahasiswa serta mengenal pasti bentuk sokongan yang boleh diperkasakan bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik.

Dalam masa yang sama, proses mengenal pasti dan pengesahan Siswa Sulung turut dilaksanakan secara berperingkat. Panel penilai akan menghubungi pelajar yang dikenal pasti layak untuk kategori Siswa Sulung bagi mendapatkan maklumat dan pengesahan yang berkaitan.

Surat tawaran Siswa Sulung pula akan dikeluarkan dan menyusul kepada pelajar yang berjaya sebelum mereka mendaftar sebagai mahasiswa USM.

Siswa Sulung merupakan antara kelompok mahasiswa yang diberi perhatian dalam agenda pembangunan mahasiswa USM, selaras dengan usaha universiti untuk mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, prihatin, dan menyokong kejayaan mahasiswa tanpa mengira latar belakang.

Siswa Sulung bukan sekadar menjadi mahasiswa pertama dalam keluarga melangkah ke menara gading, tetapi mereka juga sedang membuka jalan untuk generasi seterusnya. USM akan terus memperkukuh usaha mendekati mahasiswa melalui pendekatan yang lebih dekat, responsif, dan berteraskan keperluan sebenar mahasiswa.

Sumber: Facebook Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM