USM PULAU PINANG, 12 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi tuan rumah penganjuran 3rd Research Officers National Symposium (ReONS 2026) yang menghimpunkan Pegawai Penyelidik daripada universiti awam serta institusi penyelidikan di seluruh negara bagi berkongsi kepakaran, pengalaman dan hasil penyelidikan.
Dengan tema “Frontiers of Research: Connecting Minds, Creating Impact”, ReONS pertama kali dibawakan ke utara setelah mula diperkenalkan pada tahun 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan di Universiti Malaya (UM) pada 2024.
Simposium peringkat kebangsaan itu menjadi platform ilmiah bagi memperkasa perkongsian dalam pelbagai bidang penyelidikan Sains dan Teknologi serta bukan Sains dan Teknologi.
Majlis perasmian ReONS 2026 disempurnakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Dr. Habibah A. Wahab, di Auditorium Murad Mohd Noor, Sains@USM, di sini hari ini.
Habibah dalam ucapannya berkata, perbincangan dan pembentangan saintifik dalam ReONS memberi peluang kepada peserta meneroka pendekatan baharu berteraskan inovasi, selain menterjemahkan kerangka teori kepada impak kepada masyarakat.
“Simposium ini selaras dengan status APEX (Accelerated Programme for Excellence) yang menjadi platform penting bagi pegawai penyelidik, pegawai sains dan ahli akademik profesional untuk berkongsi pengalaman serta hasil penyelidikan terkini,” katanya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Penganjur ReONS menyediakan Geran Perjalanan kepada lima penerima terpilih bagi menyokong mobiliti dan pembangunan profesional Pegawai Penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Inisiatif itu turut membuka peluang lebih luas untuk pembelajaran dan kerjasama serta membantu mencetuskan idea-idea baharu.
Turut berlangsung ialah penyampaian sijil penghargaan kepada peserta pameran kategori emas, Hi-tech Instruments Sdn. Bhd., manakala kategori perak membabitkan Inno Lab Engineering Sdn. Bhd., Crest Systems (M) Sdn. Bhd., Nanorian Technologies Sdn. Bhd. dan Quasi-S Sdn. Bhd.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada pemenang Pertandingan Cipta Logo Persatuan Pegawai Penyelidik USM, Sofiyatul Akmal Salim.
Penganjuran ReONS 2026 turut mendapat sokongan Persatuan Pegawai Penyelidik Malaysia (MROS), Jawatankuasa Penganjur, organisasi yang terlibat, penaja serta penyumbang.