Skip to main content

USM TERUS PACU KEPIMPINAN GLOBAL PENDIDIKAN TINGGI DI FORUM ASHELF

PUTRAJAYA, 17 November - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranan dan pengaruhnya di persada antarabangsa melalui penglibatan aktif barisan staf akademik serta para pelajar dalam program berprestij, ASHELF: Global Leadership. Sesi forum bertemakan “Shaping the ASEAN Higher Education Common Space: Leadership, Connectivity and Global Impact” ini telah berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 11.15 pagi bertempat di Dewan 4, Aras Concourse.


Dalam sesi perkongsian ilmu tersebut, USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad, yang tampil selaku salah seorang ahli panel utama. Beliau berkongsi pentas bersama dua tokoh akademik serantau lain, iaitu Assistant Professor Dr. Romyen Kosaikanont (Naib Presiden, Mae Fah Luang University, Thailand) dan Profesor Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamaed Sahari (Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Malaysia), dengan sesi dikendalikan oleh Profesor Dr. Wan Chang Da dari School of Education, Taylor's University Malaysia selaku moderator.

Selain penglibatan kepimpinan tertinggi universiti di pentas panel, program yang diadakan secara jemputan dan penyertaan terbuka terhad ini turut disertai oleh delegasi staf akademik, staf pentadbiran dan pelajar USM sebagai peserta. Penyertaan ini memberi peluang berharga kepada warga kampus untuk mendalami wacana strategik berkaitan kesalinghubungan, kepimpinan serta impak global dalam membentuk ruang pendidikan tinggi ASEAN yang lebih berdaya saing.

Penglibatan menyeluruh daripada pelbagai peringkat warga USM ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memupuk bakat kepimpinan masa hadapan serta memperluas jaringan kerjasama akademik di peringkat serantau dan global.

Teks & Foto: Puan Nor Ezliza Hasim (Bahagian Akademik & Antarabangsa)