Skip to main content

USM TEKAD LAHIRKAN GENERASI PEREKA CIP, TERAJUI MASA DEPAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR NEGARA – NAIB CANSELOR

USM PULAU PINANG, 27 November 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) bertekad melahirkan generasi pereka cip, pencipta teknologi, dan peneraju inovasi yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor global serta memacu agenda kedaulatan teknologi negara.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, perkembangan pesat teknologi global, termasuk kecerdasan buatan (AI), revolusi digital, dan kemajuan perubatan, menjadikan industri semikonduktor antara sektor strategik yang bakal menentukan hala tuju ekonomi dan daya saing sesebuah negara.

Beliau berkata Malaysia telah lama menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan semikonduktor dunia, namun negara perlu melangkah lebih jauh dengan memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju serta pembangunan teknologi bernilai tinggi.

“Persoalannya bukan lagi sekadar berapa banyak cip yang mampu kita hasilkan, tetapi berapa banyak teknologi yang mampu kita cipta, kuasai, dan miliki.

“Kedaulatan teknologi tidak terbina dengan pelaburan semata-mata. Ia menuntut kekuatan ilmu, keberanian berinovasi, dan kebijaksanaan membangunkan bakat anak watan,” katanya ketika berucap pada Sidang Keenam Upacara Konvokesyen Ke-64 USM yang meraikan sejumlah 733 graduan kejuruteraan di sini.

Menurut beliau, USM komited memainkan peranan lebih besar dalam mencorakkan masa depan industri semikonduktor negara menerusi penyelidikan berimpak tinggi, pembangunan modal insan, dan jalinan strategik bersama pemain industri.

Katanya, pengiktirafan kerajaan terhadap USM sebagai peneraju pembangunan bakat semikonduktor, termasuk sokongan bagi pembangunan Hab Semikonduktor Bumiputera, membawa amanah besar kepada universiti itu untuk terus memperkukuh kapasiti negara dalam bidang berkenaan.

“USM tidak mahu sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan ini. Kita bertekad menjadi antara institusi yang mencorakkan hala tuju industri semikonduktor negara.

“Kita mahu membina generasi pereka cip, pencipta teknologi, dan peneraju inovasi yang bakal menentukan wajah industri semikonduktor negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata USM juga akan terus menyumbang kepakaran kepada pelaksanaan pelan tindakan semikonduktor negara menerusi pengukuhan penyelidikan rentas disiplin dan pembangunan ekosistem inovasi tempatan.

Dalam hubungan itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu berusaha menjadi bukan sekadar lokasi pengeluaran teknologi global, malah sebuah negara yang melahirkan teknologi baharu hasil kreativiti dan kepakaran tempatan.

Pada masa sama, beliau berkata pembangunan industri berteknologi tinggi perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan seimbang dengan prinsip kelestarian melalui penggunaan tenaga yang cekap, pengurusan sumber yang berhemah serta pemeliharaan kesejahteraan masyarakat.

“Teknologi yang hebat bukan hanya teknologi yang mempercepat pembangunan, tetapi teknologi yang memperluas manfaat pembangunan,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru para graduan supaya tidak sekadar menjadi sebahagian daripada industri, sebaliknya berani mencetuskan pembaharuan dan mencipta teknologi yang mampu memberi nilai tambah kepada negara.

“Jangan hanya berbangga menguasai teknologi ciptaan orang lain. Binalah keupayaan untuk mencipta teknologi yang suatu hari nanti menjadi kebanggaan negara.

“Jadilah jurutera yang tajam akalnya, teguh integritinya dan luas manfaat ilmunya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, para pensyarah, dan seluruh warga USM atas sokongan serta pengorbanan mereka dalam membantu para graduan mencapai kejayaan akademik.

Sidang Keenam pagi ini menyaksikan seramai 733 graduan kejuruteraan daripada enam pusat pengajian Kejuruteraan menerima skrol ijazah mereka daripada Pro-Canselor USM, Academician Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali.

Teks: Tan Ewe Hoe
Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab