Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM TAMBAH 200 TEMPAT, PERKASA BAKAT ELEKTRONIK DAN SEMIKONDUKTOR

PULAU PINANG · 7 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas pengambilan pelajar ijazah sarjana muda bidang kejuruteraan elektronik dengan tambahan 200 tempat di kampus induk USM, di sini, bermula Sidang Akademik 2026/2027.

Pengambilan sulung menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (PISMKE) yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) di kampus induk USM, Pulau Pinang, diperkenalkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan bakat tempatan dalam bidang kejuruteraan elektronik dan semikonduktor bernilai tinggi.

Penambahan bilangan bakat masa depan negara itu sekali gus melengkapkan pengambilan tahunan 150 pelajar bagi program sama di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Nibong Tebal.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, perluasan pengambilan berkenaan amat signifikan ketika Malaysia mempergiat usaha membangunkan bakat yang bersedia memenuhi keperluan industri, khususnya bagi menyokong pertumbuhan sektor semikonduktor, automasi, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pembuatan termaju.

Tambahnya, menerusi PISMKE, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada asas kejuruteraan elektronik, malah diberi pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan keperluan sebenar industri menerusi pendekatan berasaskan aplikasi dan penyelesaian masalah.

“Program ini memberi penekanan kepada bidang asas litar, sistem elektronik, peranti elektronik, aplikasi terbenam, komunikasi, automasi, instrumentasi serta projek berorientasikan industri.”

“Pendekatan berasaskan industri turut menjadi teras PISMKE bagi memastikan penguasaan teori pelajar dilengkapi dengan pendedahan kepada cabaran sebenar dalam sektor teknologi, pembuatan dan reka bentuk melalui kerjasama dengan pemain industri,” jelas beliau.

Kerjasama berkenaan turut merangkumi penyediaan peralatan terkini, perkongsian pengetahuan dan kemahiran secara langsung dalam kuliah, serta pembangunan kurikulum berasaskan input industri bagi memastikan kandungan pengajaran kekal selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Sokongan industri seperti INTEL, Tokyo Electron (TEL), NI-Emerson, SanDisk, StarFive International, HP, Lattice Semiconductor, Advantech, Altera dan lain-lain dalam penyediaan fasiliti makmal dalam bentuk peralatan, perkongsian teknologi ‘know-how’ dan platform pembelajaran terkini membolehkan pelajar memperoleh pengalaman amali menggunakan teknologi yang relevan dengan keperluan semasa industri elektronik dan semikonduktor.

Kesinambungan daripada ini juga, projek kejuruteraan reka bentuk bersepadu dan projek tahun akhir dapat dirangka berdasarkan keperluan industri, memberi peluang kepada pelajar menangani isu sebenar selain membina kemahiran teknikal, analitikal dan komunikasi yang diperlukan di tempat kerja.

Dekan PPKEE, Prof. Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Suandi pula menegaskan program itu memberi tumpuan kepada usaha melahirkan bakat kejuruteraan elektronik yang berdaya saing dari sudut akademik serta bersedia menyumbang kepada industri bernilai tinggi negara selepas menamatkan pengajian.

“Matlamat PPKEE adalah untuk melahirkan bakat kejuruteraan elektronik yang berdaya saing dari sudut akademik dan bersedia menyumbang kepada industri bernilai tinggi negara sebaik sahaja menamatkan pengajian,” katanya.

Sejajar dengan agenda Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), termasuk pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), PPKEE turut menyokong usaha memperkukuh bakat tempatan bagi membolehkan Malaysia bergerak ke tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai industri.

Antara bidang yang diberi perhatian termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan sistem pembuatan digital, selain menyokong agenda Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Hubungan strategik antara institusi pendidikan, pemain industri, agensi kerajaan dan komuniti pemegang taruh turut menjadi elemen penting dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang menyeluruh melalui latihan industri, input kurikulum, penyediaan peralatan, pendedahan kepada teknologi terkini dan pewujudan laluan kerjaya.

Perluasan PISMKE itu sekali gus menyediakan kapasiti lebih besar untuk pembangunan bakat tempatan dalam bidang elektronik dan semikonduktor, selari dengan keperluan industri yang semakin berkembang serta aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai teknologi dan pembuatan.

Teks: Marziana Mohamed Alias
Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq