Skip to main content

USM, TALENTCORP JALIN KERJASAMA PERSIAP MAHASISWA DEPANI TRANSFORMASI AI, MAHASISWA TERIMA SIJIL KURSUS PENDEK RM5,000

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 30 Oktober 2026

USM PULAU PINANG, 30 Oktober 2026 – Seramai kira-kira 178 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai program Jelajah AI MyMahir (JAM) 2026 baru-baru ini bagi memperkukuh kompetensi kecerdasan buatan (AI) dan mempersiapkan diri untuk menghadapi keperluan kerjaya yang semakin dipengaruhi oleh transformasi digital.

Setiap peserta turut menerima Sijil Kursus Pendek (Short Course Certificate) yang bernilai RM5,000 secara percuma, bagi menyokong usaha untuk memperkukuh kompetensi AI dan meningkatkan nilai profesional mereka.

Program anjuran Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (SKKG), Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) tersebut telah berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa (DPS) 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.

Antara pengisian utama program tersebut ialah sesi MyMahir Context Setting & AI Skills Credit Registration berkaitan pendaftaran kredit kemahiran AI; AI di Hujung Jari yang meneroka asas dan aplikasi AI dalam pembelajaran; serta AI for Career yang menekankan penggunaan AI untuk memperkukuh daya saing dan kebolehpasaran graduan.

Tiga Timbalan Naib Presiden, Pejabat Strategi Kumpulan TalentCorp, Syaza Nazura Noor Azmi, Fasiha Mohd Noh, dan Siti Noor Munirah Kamaruzaman memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kepentingan penguasaan AI dalam mendepani perubahan landskap kerjaya melalui perkongsian mereka.

Penganjuran program JAM 2026 tersebut mencerminkan komitmen USM melalui SKKG dan BHEPA dalam menyediakan peluang pembelajaran yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan graduan yang adaptif, berdaya saing, dan bersedia memanfaatkan teknologi dalam dunia pekerjaan.

Turut hadir bersama ialah Pegawai Tadbir SKKG, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, Sollehin Ab Rahim dan Nur 'Aqila Badrul Hisham.

Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
Suntingan: Nur Anis Sophilia Zaidin, Intern@MPRC, USM