Skip to main content
```html
BERITA MUTAKHIR

USM, SPRM PERKUKUH AGENDA INTEGRITI MELALUI GRADUASI CPIAM DAN KERJASAMA STRATEGIK

PULAU PINANG · 22 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda pemerkasaan integriti dan pencegahan rasuah menerusi Majlis Graduasi Program Certified Professional in Integrity Assurance and Management (CPIAM) Siri Keenam yang turut menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti, USM itu menghimpunkan 44 graduan daripada 19 agensi kerajaan dan sektor korporat bagi menerima pengiktirafan profesional dalam bidang jaminan integriti dan pengurusan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa integriti bukan sekadar slogan atau pematuhan kepada peraturan, sebaliknya perlu dizahirkan melalui proses membuat keputusan, pelaksanaan amanah, pengurusan sumber dan pengendalian risiko.

Menurut beliau, keunggulan akademik perlu disertai integriti, akauntabiliti dan ketelusan bagi memelihara kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi.

Program CPIAM yang dibangunkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan USM dengan kerjasama Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia sejak 2023 telah melatih lebih 150 profesional daripada lebih 40 agensi awam dan swasta di seluruh negara.

Program tersebut memberi penekanan kepada pendekatan praktikal dan relevan dengan cabaran semasa, termasuk keselamatan siber, pengurusan risiko, etika dan tadbir urus, integriti dalam kecerdasan buatan, pencegahan rasuah serta penyiasatan forensik.

Abdul Rahman turut menggesa para graduan agar menjadi agen perubahan di organisasi masing-masing dengan membantu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan mencegah salah laku sebelum berlaku.

Majlis tersebut turut menyaksikan penandatanganan MoU antara USM dengan SPRM sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam pendidikan pencegahan rasuah, khususnya dalam kalangan mahasiswa, serta memperkasakan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR).

Kerjasama strategik itu turut membuka ruang kepada pembangunan kapasiti, program latihan kepakaran bersama, penyelidikan dan usaha membudayakan nilai antirasuah dalam kalangan mahasiswa dan warga universiti, sekali gus menyokong pembentukan generasi pemimpin yang berprinsip dan bertanggungjawab.

Di samping itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ TKPj Azmi bin Kamaruzaman, dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama menyeluruh antara institusi bagi memperkukuh agenda pencegahan rasuah dan melahirkan modal insan yang kompeten serta berpegang teguh pada prinsip etika dan integriti.

Beliau turut mengingatkan para graduan bahawa pengiktirafan profesional yang diterima membawa amanah untuk menjadi pemangkin perubahan serta membimbing organisasi ke arah amalan kerja yang telus dan beretika.

Majlis turut dihadiri Presiden ACeIO Malaysia, Dato’ Ahmad Sabri Mohamed, serta wakil agensi kerajaan, sektor korporat, tenaga pengajar dan tetamu jemputan.

Penganjuran CPIAM Siri Keenam mencerminkan komitmen berterusan USM bersama rakan strategiknya dalam memperkukuh profesionalisme bidang integriti serta menyokong pembentukan organisasi yang berakauntabiliti, telus dan berintegriti demi kepentingan masyarakat dan negara.

Teks: Nurismahani Situah, Intern@MPRC, USM
Foto: Muhammad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
```