Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM, SPRM GUNA PENDEKATAN SENI BUDAYA SEMAI INTEGRITI, PERANGI RASUAH

PULAU PINANG · 26 Oktober 2026

Seni budaya bukan sekadar wadah hiburan, malah berpotensi menjadi medium pendidikan nilai yang berkesan dalam membentuk generasi berintegriti.

Pendekatan kreatif ini diketengahkan menerusi program Himpun Budaya Integrasi: Berbudaya Tanpa Rasuah anjuran Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sekretariat Protégé USM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Berlangsung di Permatang Pelajar, Dewan Budaya USM, program itu menampilkan sembilan persembahan kebudayaan yang merangkumi tarian, nyanyian serta deklamasi sajak dan puisi bagi menyampaikan mesej antirasuah melalui pendekatan seni yang dekat dengan jiwa masyarakat, khususnya golongan mahasiswa.

Menerusi gabungan elemen seni dan mesej integriti, program itu membuka ruang kepada mahasiswa untuk menghayati kepentingan nilai amanah, tanggungjawab dan penolakan terhadap rasuah dalam kehidupan seharian.

Pendekatan tersebut turut memperlihatkan potensi seni budaya sebagai saluran pendidikan yang mampu menyampaikan mesej sosial secara kreatif dan lebih mudah didekati.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran dalam ucapannya mengingatkan mahasiswa supaya tidak melihat program berkenaan sekadar sebagai hiburan, sebaliknya menghayati mesej yang disampaikan melalui setiap persembahan sebagai panduan membentuk peribadi yang berintegriti.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memupuk integriti perlu diteruskan secara berkesinambungan dan tidak terhenti selepas program berakhir, agar mesej yang disampaikan dapat diterjemahkan dalam tindakan serta amalan seharian.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya (TPj) SPRM Pulau Pinang, Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail, mengingatkan mahasiswa supaya menjauhi rasuah kerana perbuatan itu boleh merosakkan negara dan bangsa, selain menjejaskan masa depan individu.

Beliau turut menyeru mahasiswa agar memahami dan menghayati pengajaran yang disampaikan melalui seni budaya, sekali gus menjadikan nilai integriti sebagai asas dalam membuat keputusan dan melaksanakan tanggungjawab.

“Pentingnya program kebudayaan seperti ini adalah pada kesinambungan selepasnya, dan USM perlu kekal mengadakan program yang berimpak tinggi,” katanya.

Penganjuran program ini mencerminkan potensi kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dengan agensi penguatkuasaan dalam memperluas pendidikan antirasuah melalui pendekatan bukan konvensional.

Dengan menjadikan seni budaya sebagai medium penyampaian, mesej integriti dapat diketengahkan melalui pengalaman yang melibatkan penghayatan, kreativiti dan kesedaran sivik.

Usaha seumpama ini turut memperkukuh peranan Dewan Budaya USM bukan sahaja sebagai ruang pengembangan bakat dan apresiasi seni, malah sebagai platform yang menyokong pembentukan nilai murni serta kesedaran sosial dalam kalangan warga universiti.

Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang USM, Dato’ Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Pengarah Dewan Budaya USM, Norhelmi Othaman; Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Prabu Mogan; dan Ombudsman, Profesor Madya Dr. Mohamad Zailani Abu Bakar.

Teks: Nur Anis Sophilia Zaidin, Intern@MPRC, USM
Foto: Dewan Budaya, USM