Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM RAIH TIGA EMAS, SATU PERAK DI UMS SULAM INTERNATIONAL SHOWCASE & SYMPOSIUM 2026

PULAU PINANG · 8 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) meraih tiga pingat emas dan satu pingat perak menerusi empat projek dalam UMS SULAM International Showcase & Symposium 2026 yang berlangsung secara dalam talian pada 5 Oktober lalu.

Program anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universitas Hasanuddin (UNHAS), Indonesia, itu menjadi platform antarabangsa untuk membentangkan dan mempamerkan projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) serta projek libat urus komuniti.

Dalam kategori Sains Sosial, pingat emas diraih oleh Dr. Samah Ali Mohsen Mofreh dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan menerusi projek “Empowering Malaysian Form 3 Students’ English Skills Through Needs-Driven Instruction: A Community-Based Approach to Integrated Language Learning”, yang mengetengahkan pembelajaran bahasa Inggeris berasaskan keperluan pelajar Tingkatan 3.

Satu lagi pingat emas dimenangi oleh Dr. Andika Aziz Hussin dari Pusat Pengajian Seni menerusi projek “Transformasi Pembelajaran Teks Sastera KOMSAS Melalui Pendekatan Teater Berasaskan Pengalaman Langsung dan Persembahan: Satu Projek SULAM Menerusi Model VAK–FRTP”. Projek yang dilaksanakan di SMK Georgetown ini menggunakan pendekatan teater dan persembahan bagi membantu pelajar menghayati teks sastera KOMSAS.

Dalam kategori Sains, Profesor Madya Dr. Nor Muzlifah Mahyuddin dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik meraih pingat emas menerusi projek “SULAM ASPIRE (Advancing Schools with Practical IoT and Responsive Engineering)”, yang mengetengahkan aplikasi Internet of Things (IoT) dan kejuruteraan dalam komuniti sekolah.

Pingat perak pula diraih oleh Profesor Madya Dr. Raja Azman Raja Awang dari Pusat Pengajian Sains Pergigian menerusi projek “Senyuman & Jatidiri: Pendekatan SULAM Imersif dalam Memperkasa Komuniti Sekolah Pedalaman”, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti sekolah pedalaman.

Keempat-empat pengiktirafan tersebut memperlihatkan kepelbagaian kepakaran dan pendekatan SULAM di USM yang merentas bidang, daripada pendidikan bahasa dan seni persembahan kepada teknologi kejuruteraan serta kesihatan komuniti.

Menurut Penyelaras SULAM USM, Dr. Noor Alyani Nor Azazi, kejayaan ini membanggakan dan mencerminkan pembudayaan SULAM yang semakin berkembang dalam kalangan pensyarah dan pelajar USM.

“Kita berbangga dengan usaha para pensyarah dan pelajar yang terus memperkukuh pelaksanaan SULAM serta mengetengahkan projek mereka di peringkat antarabangsa. Pencapaian ini menjadi dorongan kepada lebih ramai warga USM untuk turut menjayakan SULAM dan memperluas sumbangan kepada komuniti,” katanya.

Noor Alyani juga berkata, kejayaan di UMS turut menambah pengiktirafan terhadap pelaksanaan SULAM USM, susulan pencapaian terdahulu di SULAM Innovate Ke-3, SULAM@UPM Carnival 2026 serta IPMA Global Project Excellence Awards 2026.

Pencapaian ini turut mengetengahkan peranan SULAM sebagai wadah untuk menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan masyarakat melalui pendekatan kreatif dan penyelesaian yang berorientasikan komuniti.

“Tahniah dan penghargaan dirakamkan kepada semua ketua projek, ahli pasukan, pensyarah, pelajar serta rakan komuniti atas komitmen dan kreativiti yang menyumbang kepada kejayaan USM di pentas antarabangsa.

“Usaha para pensyarah dan pasukan projek membawa hasil pelaksanaan SULAM ke pentas antarabangsa turut meningkatkan pengiktirafan terhadap USM serta menyokong komitmen universiti untuk memperluas pembelajaran berasaskan pengalaman dan khidmat komuniti,” ujar beliau lanjut.

Tambah beliau, ia turut selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran dan peka terhadap keperluan masyarakat.

Teks: Edzuwyn Fathin Mahyuddin, Pusat Rancangan Kokurikulum
Suntingan: Dr. Noor Alyani Nor Azazi, Penyelaras SULAM USM