Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengadakan Lawatan Penandaarasan ke Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), USM hari ini.
Delegasi UUM seramai 13 orang diketuai oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, UUM, Dato' Muhamad Khizri Abu Kassim, dan turut disertai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Profesor Dr. Ram Al Jaffri Saad, serta Pengarah Bahagian Perancangan & Prestasi Korporat, Jabatan Canselori UUM, Profesor Dr. Nor Aziah Abd Manaf.
Turut menyertai delegasi ialah wakil-wakil daripada Bahagian Perancangan & Prestasi Korporat, Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi, Pusat Inovasi dan Pengkomersilan serta Pusat Pengurusan Penyelidikan UUM.
Pihak USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; dan Pengarah IPSC, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd.
Lawatan tersebut bertujuan memberi ruang kepada kedua-dua universiti untuk berkongsi pengalaman, pengetahuan, dan amalan terbaik berkaitan pengurusan perancangan institusi dan strategik, pengurusan prestasi serta pembangunan strategik universiti.
Program dimulakan dengan sesi bergambar dan ucapan alu-aluan oleh Pengarah IPSC USM, diikuti sesi pengenalan oleh ketua delegasi UUM.
Ia diikuti dengan perkongsian bersama antara USM dengan UUM berkaitan pengurusan dan pelaksanaan pelan strategik dan amalan terbaik USM dalam pengurusan perancangan institusi dan strategik, dan diakhiri dengan sesi perbincangan antara kedua-dua institusi.