USM PERLUAS KERJASAMA ANTARABANGSA BERSAMA O.P. JINDAL UNIVERSITY, INDIA
Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila Pusat Pengajian Sains Matematik (PPSM) menjalin kerjasama strategik bersama O.P. Jindal University, India, di sini semalam.
Kerjasama berkenaan dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dengan O.P. Jindal University, yang mana majlis pertukarannya dibuat secara rasmi melalui kunjungan delegasi O.P. Jindal University ke USM.
Delegasi O.P. Jindal University diketuai Naib Canselornya, Prof. Dr. R.D. Patidar, bersama Pengarah R&D Cell, Prof. Dr. Makkuva Kalyan Phani manakala hadir mewakili USM ialah wakil Naib Canselor merangkap Pengarah Pejabat Antarabangsa, Profesor Dr. Lee Keat Teong, serta barisan pengurusan PPSM.
Pertukaran dokumen MoU berkenaan merupakan kesinambungan kepada dokumen yang telah ditandatangani sebelum ini antara kedua-dua institusi, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh hubungan akademik dan institusi antara USM dengan O.P. Jindal University.
Lawatan delegasi O.P. Jindal University turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak mengadakan perbincangan akademik bersama ahli fakulti, selain meneroka peluang kerjasama dalam bidang pengajaran, penyelidikan, pertukaran pelajar serta pelaksanaan program akademik bersama.
Kerjasama berkenaan turut diharap dapat memperluas jaringan antarabangsa USM melalui perkongsian kepakaran akademik dan penyelidikan, mobiliti pelajar serta pembangunan inisiatif akademik yang memberi manfaat kepada warga kedua-dua universiti. Penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen USM untuk memperkukuh hubungan dengan institusi pengajian tinggi antarabangsa, selain memperluas peluang kolaborasi yang menyokong kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat di peringkat global.