Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM PERLUAS KEPAKARAN PERUBATAN MARITIM SERANTAU MENERUSI KERJASAMA STRATEGIK DENGAN UNIVERSITAS HANG TUAH

USM PULAU PINANG · 13 Ogos 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperluas jaringan kepakaran serantau dalam bidang perubatan menerusi perancangan kerjasama strategik dengan Universitas Hang Tuah (UHT), Surabaya yang bakal dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

Perkara tersebut dibincangkan dalam pertemuan antara wakil kedua-dua universiti bersempena dengan International Conference on Maritime Medicine (ICOME) 2026 di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.

Pertemuan ini merupakan kesinambungan daripada perbincangan awal antara Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM dengan Fakultas Perubatan UHT yang bermula sejak ICOME 2025 lagi.

USM diwakili oleh Pakar Perunding dan Pensyarah Perubatan Kecemasan serta Perubatan Hiperbarik, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, manakala UHT diwakili oleh Rektornya, Laksamana Muda TNI (Purn.) Dr. Ir. Avando Bastari, M.Phil., M.Tr. Opsla., IPM., ASEAN Eng.

Perbincangan memberi tumpuan kepada kandungan dan skop MoU yang dicadangkan. Pada peringkat awal, kerjasama akan melibatkan PPSP USM dan Fakultas Perubatan UHT dalam bidang Perubatan Kecemasan, Perubatan Maritim serta Perubatan Hiperbarik dan Selaman.

Skop kerjasama yang dicadangkan merangkumi pelantikan profesor dan pensyarah pelawat, pengajaran dan pembelajaran pada peringkat prasiswazah serta pascasiswazah, pertukaran pelajar dan pensyarah, pelaksanaan penyelidikan dan inovasi bersama, serta penganjuran seminar dan persidangan bertaraf antarabangsa.

Hasil perbincangan menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk meneruskan proses pemeteraian MoU secara rasmi pada tarikh yang akan dipersetujui kemudian.

Kerjasama ini turut berpotensi diperluaskan kepada pusat pengajian dan fakulti lain bagi memperkukuh hubungan institusi, memperluas perkongsian kepakaran serta membuka lebih banyak peluang kerjasama akademik dan penyelidikan antara USM dengan UHT.

Pertemuan tersebut turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Charles Darwin University (CDU), Australia; Timbalan Rektor UHT; Dekan Fakultas Perubatan UHT; serta beberapa orang pensyarah kanan universiti berkenaan. Dalam sesi yang sama, CDU dan UHT turut mengadakan perbincangan awal untuk meneroka peluang kerjasama akademik antara kedua-dua institusi.

Bersempena dengan ICOME 2026, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin turut diundang sebagai penceramah plenari pada hari pertama persidangan menerusi pembentangan bertajuk “From Diving Zones to Coastal Communities: Advancing ‘One Health’ in Maritime Medicine and Blue Biomedicine”.

Penyertaan tersebut menyerlahkan kepakaran USM dalam bidang perubatan kecemasan, hiperbarik dan maritim, di samping memperkukuh kedudukan USM sebagai rakan strategik dalam pembangunan ilmu, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berkaitan dengan komuniti pesisir serta ekosistem maritim.

UHT ialah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Surabaya yang ditubuhkan pada 12 Mei 1987 oleh Yayasan Nala, sebuah yayasan di bawah Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL). Dikenali sebagai “Kampus Laut Biru”, UHT mempunyai kekuatan akademik dalam bidang maritim, perubatan, kejuruteraan, teknologi kelautan, perundangan, psikologi dan ekonomi.

Kerjasama yang dirancang ini dijangka menjadi landasan penting kepada pembangunan kepakaran, mobiliti akademik dan penyelidikan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh sumbangan USM dan UHT terhadap kemajuan perubatan maritim di rantau ini.

Teks: Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman
Foto: Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman
Suntingan: Prof Madya Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail