Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM Perkukuh Tadbir Urus Akar Umbi, Kongsi Modul COMPASSION Bersama 80 Pemimpin Komuniti Hulu Selangor

PULAU PINANG · 2 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pejabat Jaringan Masyarakat memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan tadbir urus komuniti menerusi penganjuran sesi perkongsian kepakaran dan pengurusan organisasi bersama 80 pemimpin komuniti dari Daerah Hulu Selangor di USM hari ini.

Sesi perkongsian ini merupakan sebahagian daripada program strategik kepimpinan akar umbi anjuran Bahagian Pembangunan, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.

Inisiatif ini sejajar dengan salah satu fokus utama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), iaitu pemindahan dan perkongsian ilmu, dengan memastikan kepakaran universiti dapat disalurkan kepada masyarakat. Ia turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 16 (SDG 16) melalui usaha memperkukuh kualiti pengurusan akar umbi menerusi pendedahan kepada Kit Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti berasaskan kerangka COMPASSION Playbook USM.

Sesi khas yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Jaringan Masyarakat, BJIM USM, Prof. Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak, mengetengahkan strategi menangani isu lazim dalam pengurusan organisasi desa, termasuk ketidaksinambungan projek dan kesukaran membuktikan keberhasilan kepada pemegang taruh.

Tiga teras utama yang diperkenalkan berasaskan kerangka COMPASSION meliputi:

  • Rancang (Wawasan): Memfokuskan kepimpinan berempati serta penetapan pelan tindakan berdasarkan tujuh Bidang Fokus Utama (KFA) COMPASSION.
  • Laksana (Kemahiran Pengurusan): Memperkemas sistem operasi, tadbir urus berasaskan data serta standard minimum enam rekod asas organisasi bagi menjamin ketelusan.
  • Nilai (Kualiti Kepimpinan): COMPACT (COMPASSION Impact System) menterjemahkan kualiti kepimpinan kepada ukuran berasaskan bukti dan data bagi menilai keberhasilan program sosial secara lebih telus dan sistematik.

Inisiatif ini turut melengkapkan para pemimpin komuniti dengan pelan tindakan 90 hari bagi memastikan transformasi pengurusan dapat dilaksanakan secara berperingkat di peringkat desa.

Selain itu, cadangan pelaksanaan program rintis sistem COMPACT bersama komuniti terpilih di Daerah Hulu Selangor turut dikemukakan bagi mengukur perkembangan kepimpinan dan pelaksanaan projek komuniti berdasarkan indikator yang dikenal pasti.

Langkah ini mencerminkan anjakan peranan universiti awam daripada sekadar pelaksana aktiviti kemasyarakatan kepada rakan strategik yang memperkasa keupayaan pentadbiran komuniti secara mampan dan berintegriti.

Teks & Foto: Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak, Pejabat Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM)