Skip to main content
```html
BERITA MUTAKHIR

USM PERKUKUH PERANAN STRATEGIK DALAM JAMINAN KUALITI AKADEMIK UNIVERSITI AWAM

USM PULAU PINANG · 19 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya dalam pendidikan tinggi negara menerusi pelantikan Pengarah Pusat Swa-Akreditasi (PSA) USM, Profesor Dr. Azura A. Rashid, sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam (MPQ-UA) bagi sesi 2026/2027.

Pelantikan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan dan kepakaran beliau, sekali gus mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada USM untuk menerajui MPQ-UA.

USM turut menjadi tuan rumah Mesyuarat MPQ-UA Bil. 4/2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM, baru-baru ini. Mesyuarat tersebut menghimpunkan ketua dan wakil pengurusan kualiti akademik universiti awam dari seluruh negara.

Majlis perasmian mesyuarat disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad, dan dipengerusikan oleh Azura selaku Pengerusi MPQ-UA.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MPQ-UA, Profesor Madya Dr. Noor Syamilah Zakaria dari Universiti Putra Malaysia (UPM); Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik JPT, Profesor Madya Dr. Azidah Abu Ziden; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Zamrin Salim.

Mesyuarat tersebut menjadi platform perkongsian kepakaran, perbincangan mengenai isu dan cabaran semasa, serta penyelarasan amalan terbaik dalam jaminan kualiti akademik universiti awam. Seiring dengan usaha tersebut, PSA USM, yang bertanggungjawab terhadap pengurusan swa-akreditasi universiti, turut diberi kepercayaan sebagai sekretariat MPQ-UA bagi sesi 2026/2027. Pelantikan itu sekali gus memperluas sumbangan pusat berkenaan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti awam.

Sehari sebelum mesyuarat berlangsung, Bengkel Sinergi yang menghimpunkan lima majlis kerjasama universiti awam turut diadakan di Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), USM, di Teluk Bahang.

Bengkel tersebut melibatkan MPQ-UA, Majlis Kerjasama Ketua-Ketua Pusat Pengajaran dan Pembelajaran IPTA Malaysia (MAGNETIC), Majlis Pengarah-Pengarah ICT IPTA (MAPITA), Majlis Ketua-Ketua Penyelaras e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) dan Majlis Pengurusan Akademik Universiti Awam (MPAUA). Bengkel itu menjadi wadah untuk memperkukuh sinergi antara majlis berkenaan merentasi bidang akademik, jaminan kualiti dan teknologi digital.

Keunikan lokasi CEMACS USM turut memberikan pengalaman tersendiri kepada peserta, khususnya mereka yang pertama kali berkunjung ke pusat berkenaan melalui perjalanan menaiki bot.

Selain menyertai bengkel, para peserta turut mengikuti lawatan yang diketuai oleh Pengarah CEMACS USM, Profesor Madya Dr. Mahadi Mohammad, bagi mengenali aktiviti penyelidikan marin, pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian ekosistem pesisir pantai yang dijalankan oleh USM.

Teks: Nurul Ashikin Mohamad Niza, Pusat Swa-Akreditasi (PSA), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), USM
Foto: Khairudin Zainol / Muhammad Taufik Abdul Rahman, Pusat Swa-Akreditasi (PSA), Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin (KKTSS), USM
```