Skip to main content

USM PERKUKUH PEMBANGUNAN BAKAT SEMIKONDUKTOR MENERUSI KERJASAMA BELANDA-ASIA TENGGARA

BERITA MUTAKHIR

USM PULAU PINANG · 18 Ogos 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi lokasi berlangsungnya Majlis Penutupan Netherlands–Southeast Asia Semiconductor Talent Programme 2026 yang menghimpunkan 60 pelajar berbakat dari seluruh Asia Tenggara dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat dan kerjasama serantau dalam bidang semikonduktor.

Program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta dalam pelbagai bidang teknologi semikonduktor di samping membuka ruang kepada perkongsian ilmu, pembinaan jaringan dan kerjasama antara peserta dari negara-negara Asia Tenggara dan Belanda.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif seumpama itu membantu memperkukuh hubungan antara rantau ini dengan Belanda dan dilaksanakan tepat pada masanya ketika Asia Tenggara memberi tumpuan besar terhadap pembangunan industri semikonduktor.

Menurutnya, Pulau Pinang terus memainkan peranan penting sebagai hab elektrik dan elektronik (E&E) negara apabila merekodkan eksport E&E melebihi RM350 bilion pada separuh pertama 2026, iaitu peningkatan lebih 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau juga berkata, perkembangan pesat industri itu turut membawa cabaran besar dari aspek pembangunan bakat apabila industri semikonduktor global dijangka memerlukan tambahan sejuta tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030 termasuk lebih 200,000 jurutera tambahan di rantau Asia Pasifik.

“Bagi Malaysia, anggaran industri menunjukkan negara memerlukan kira-kira 50,000 jurutera berkemahiran bagi memenuhi permintaan semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Netherlands–Southeast Asia Semiconductor Talent Programme 2026 di Auditorium Murad Mohd Noor, SAINS@USM di sini baru-baru ini.

Hadir sama ke majlis itu ialah Timbalan Duta dan Ketua Bahagian Ekonomi Kedutaan Belanda di Malaysia, Pieter Blussé; Pengarah Nuffic Southeast Asia, Nanya Burki; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengurus Pembangunan Perniagaan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), Louis Chee; serta wakil industri dan rakan strategik program.

Ketua Menteri turut menyambut baik perkongsian Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengenai perancangan universiti untuk memulakan program baharu dalam bidang E&E yang dijangka mampu menerima sehingga 200 pelajar kejuruteraan di Pulau Pinang.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui tugasan berkumpulan dalam menyelesaikan cabaran sebenar berkaitan industri semikonduktor.

Kumpulan G1 yang dianggotai pelajar dari Malaysia diumumkan sebagai pemenang Non-Technical Assignment, manakala Kumpulan G2 yang terdiri daripada enam peserta daripada universiti di seluruh Asia Tenggara memenangi Technical Assignment.

Penganjuran Netherlands–Southeast Asia Semiconductor Talent Programme 2026 mencerminkan komitmen bersama USM serta rakan strategik dari Belanda dan Asia Tenggara dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor menerusi pembangunan bakat, perkongsian ilmu dan kerjasama antarabangsa bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

Teks: Anis Solehah Zulkifli, Intern@MPRC, USM
Foto: Mohd Fairus Md Isa