USM TERUS PERKUKUH JALINAN STRATEGIK BERSAMA LEAVE A NEST
Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jalinan strategiknya dengan Leave A Nest (LVN) Japan menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus memperkukuhkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pembangunan bakat, dan inovasi.
Pertukaran MoU tersebut berlangsung bersempena dengan University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mewakili USM dan LVN pada majlis tersebut ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dan Pengarah Urusan LVN, Abdul Hakim Sahidi.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab, bersama Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan (CIC) USM, Profesor Dr. Mohd Hazwan Hussin, serta barisan pengurusan dan pegawai Universiti.
MoU tersebut merupakan kesinambungan kerjasama sedia ada antara USM dan LVN, khususnya dalam menghubungkan penyelidik serta teknologi baharu USM dengan ekosistem industri dan inovasi Jepun.
Menerusi jaringan LVN yang melibatkan syarikat, pelabur, penyelidik, dan komuniti teknologi, kerjasama ini telah membuka peluang dalam bidang pembiayaan penyelidikan, penglibatan industri, pembangunan bakat, pengesahan teknologi, dan pengkomersialan.
Kerjasama tersebut turut menghasilkan peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaburan yang disokong industri melibatkan USM, LVN, dan pemain industri Jepun, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar USD120,000.
Penglibatan ini memperlihatkan potensi kerjasama industri yang lebih kukuh dalam menyokong keupayaan penyelidikan dan pembangunan teknologi USM.
Antara hasil kerjasama tersebut termasuk hubungan penyelidikan antara penyelidik USM dengan syarikat Jepun seperti Euglena Co., Ltd. dan KINCHO yang menyokong aktiviti penyelidikan dalam bidang kajian alga dan kajian berkaitan vektor.
Kerjasama ini turut membuka ruang kepada pembangunan bakat di peringkat antarabangsa, termasuk peluang kepada penyelidik USM untuk berinteraksi dan meneroka laluan kerjaya dalam ekosistem inovasi Jepun.
Selain kerjasama penyelidikan, LVN turut menyokong aktiviti inovasi USM menerusi penglibatan industri dan sokongan terhadap pelbagai program serta acara, termasuk INNOZILLA, TECH PLANTER, dan inisiatif inovasi antarabangsa yang lain.
Platform ini menyediakan peluang kepada penyelidik, pelajar, dan inovator USM untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi, berinteraksi dengan pihak industri serta meneroka peluang kerjasama dan pengkomersialan.
Kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkukuh jaringan akademia-industri di peringkat antarabangsa serta memperluas potensi hasil penyelidikan kepada peluang inovasi yang memberi impak kepada masyarakat dan ekonomi.
Menerusi kerjasama ini, USM dan LVN akan terus meneroka peluang yang menghubungkan penyelidikan, bakat, dan industri, di samping memperkukuh jaringan antara USM dengan ekosistem inovasi dan teknologi Jepun.