Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK ANTARABANGSA BERSAMA UNIVERSITAS TERBUKA INDONESIA

USM PULAU PINANG · 14 Oktober 2026

Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa bersama Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Terbuka, Indonesia menerusi satu program bersama yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Program yang berfokus kepada penandaarasan akademik, perkongsian kepakaran dan penerokaan penyelidikan kolaboratif itu turut bertujuan untuk PPPJJ dan FKIP berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan serta meneroka peluang kerjasama strategik khususnya dalam penyelidikan dan pengajaran.

Antara pengisian program ialah perbincangan bersama Pengerusi Rancangan Sains dan ahli bahagian Kimia, Fizik, Biologi dan Matematik bagi bertukar-tukar pandangan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam pelaksanaan program akademik dan pembangunan penyelidikan.

Perbincangan mengenai cadangan penyelidikan kolaboratif turut diadakan bagi mengenal pasti potensi penyelidikan bersama yang dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu, inovasi dan kecemerlangan pendidikan tinggi.

Program ini turut menampilkan sesi International Visiting Lecture yang melibatkan empat pakar akademik FKIP, Universitas Terbuka, iaitu Prof. Udan Kusmawan yang menyertai secara dalam talian, Dr. Juli Firmansyah, Dr. Thesa Kandanga dan Adi Susilo.

PPPJJ USM pula diwakili oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Komuniti-Industri, Prof. Madya Dr. See Kok Fong, manakala penyelarasan program diketuai oleh Pengerusi Rancangan Bidang Matematik PPPJJ, Prof. Madya Dr. Mohd Asyraf Mansor.

Menurut Mohd Asyraf, program seumpama itu penting untuk memperkukuh hubungan akademik serta membuka peluang kepada kerjasama yang lebih strategik antara kedua-dua institusi.

“Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan amalan terbaik, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan penyelidikan kolaboratif serta penghasilan idea baharu yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua institusi.

“Kami berharap hubungan yang terjalin ini dapat diteruskan melalui pelaksanaan inisiatif bersama yang memberikan impak kepada bidang pendidikan dan komuniti akademik antarabangsa,” katanya.

Wakil FKIP, Universitas Terbuka, Indonesia pula menyifatkan kunjungan itu sebagai peluang untuk berkongsi pengalaman, memperluas jaringan profesional dan meneroka kerjasama dalam bidang penyelidikan serta pengajaran.

“Kami berharap hubungan ini dapat diperkukuh melalui pelaksanaan program bersama yang berterusan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan tinggi dan pengantarabangsaan institusi,” katanya.

Inisiatif ini mencerminkan usaha PPPJJ USM memperluas jaringan antarabangsa serta memperkukuh perkongsian kepakaran dan budaya penyelidikan melalui kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi serantau.

Teks: Mohd Rashid Abdul Rejab (PPPJJ)
Foto: Nirzaniliyana Abdul Rani (PPPJJ)