PUSAT PENGAJIAN SAINS FIZIK TEROKA KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA SCHOTT GLASS MALAYSIA
USM PULAU PINANG, 2 Ogos 2026 – Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) berbesar hati menerima kunjungan Dr. Steffen Koehler, Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta Pembangunan Produk Baharu (NPI) bagi bidang Realiti Terimbuh di Schott Glass Malaysia, bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik, pembangunan bakat, dan penyelidikan.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Profesor Madya Dr. Azhar Abdul Rahman, Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik, bersama Profesor Madya Dr. Ahmad Fairuz Omar, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Profesor Madya Dr. Mohd Mahadi Halim, Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) serta pensyarah-pensyarah bidang berkaitan di Pusat Pengajian Sains Fizik.
Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada penerokaan beberapa peluang kerjasama yang berpotensi, antaranya latihan industri pelajar prasiswazah, projek minor, inisiatif Industry in Classroom serta kerjasama penyelidikan dalam bidang optik dan sains bahan.
Kerjasama tersebut dijangka dapat memberikan pendedahan yang lebih luas kepada pelajar terhadap persekitaran dan keperluan sebenar industri, di samping memperkukuh penguasaan ilmu serta kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.
Pada masa yang sama, kerjasama penyelidikan dapat membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan penerokaan bidang penyelidikan yang mempunyai potensi aplikasi industri.
Jalinan strategik bersama Schott Glass Malaysia ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Sains Fizik dalam memperkukuh hubungan antara akademia dengan pihak industri, khususnya melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi.
Kerjasama ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh ekosistem akademia-industri serta menyokong pembangunan inovasi dalam bidang fizik, optik dan sains bahan.