USM Terima Lawatan Audit Bertema Area 5 MQA, Memperkukuh Budaya Kualiti dan Tadbir Urus Akademik
Universiti Sains Malaysia (USM) terus membuktikan komitmen tinggi dalam mengekalkan piawaian kualiti akademik apabila menerima lawatan Audit Bertema Area 5: Quality Assurance and Enhancement daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di Dewan Persidangan Universiti (DPU), di sini baru-baru ini.
Sesi audit berprestij ini melibatkan barisan pengurusan tertinggi universiti yang diketuai oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed. Turut hadir menjayakan sesi ini ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; mantan TNCAA, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat; Pendaftar USM, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff; serta barisan dekan, ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), staf akademik, wakil alumni, penasihat luar, penilai luar dan panel penilai akreditasi.
Dalam ucapan beliau, Naib Canselor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga universiti atas komitmen serta kerjasama padu yang ditunjukkan sepanjang proses persediaan dan pelaksanaan audit berkenaan.
Secara khususnya, penghargaan diberikan kepada Pusat Swa-Akreditasi (PSA) selaku penyelaras utama audit, Pusat Kualiti Akademik Universiti (PKA), Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE), Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Institut Pengajian Siswazah (IPS), dekan-dekan, ketua-ketua jabatan serta seluruh warga USM yang memberikan komitmen dan kerjasama bagi memastikan proses audit berjalan lancar.
Lawatan Audit Bertema Area 5 oleh MQA menjadi platform penting untuk menilai keberkesanan sistem jaminan kualiti dalaman USM serta mengenal pasti peluang penambahbaikan bagi memperkukuh budaya kualiti dan tadbir urus akademik universiti.
Dapatan audit itu diharapkan dapat menyokong usaha berterusan USM dalam mempertingkatkan kecemerlangan sebagai sebuah universiti swaakreditasi yang menjadi penanda aras di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.