USM PERKUKUH BUDAYA KELESTARIAN KAMPUS MENERUSI PENARAFAN PEJABAT HIJAU 2026, 107 DARIPADA 124 PTJ RAIH PENARAFAN 5 DAUN
USM PULAU PINANG, 16 November 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda kelestarian kampus apabila sebanyak 107 daripada 124 Pusat Tanggungjawab (PTJ) berjaya memperoleh penarafan 5 Daun dalam Penarafan Pejabat Hijau USM 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara dalam pelaksanaan amalan kelestarian di seluruh universiti.
Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Penarafan Pejabat Hijau dan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) USM 2026 yang berlangsung di Dewan Budaya USM, di sini, baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kelestarian dan keselamatan perlu menjadi aspek utama dalam kepimpinan setiap PTJ serta diterjemahkan melalui penetapan keutamaan, pengurusan peruntukan, dan penilaian prestasi.
Menurut beliau, tadbir urus universiti juga perlu mencerminkan nilai dan ilmu yang diterapkan kepada masyarakat, selain diperkukuh melalui kerjasama strategik antara jabatan dan kampus bagi memperluas pelaksanaan amalan terbaik.
“Penganjuran program kelestarian oleh USM bukanlah bertujuan untuk mengejar penarafan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) semata-mata, sebaliknya merupakan komitmen berterusan sejak USM menerima pengiktirafan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) pada tahun 2008,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.
Beliau berkata, USM akan terus menerajui agenda kelestarian berdasarkan tanggungjawab institusi pendidikan tinggi untuk memberi impak kepada masyarakat dan alam sekitar, tanpa bergantung kepada pengiktirafan atau penarafan global semata-mata.
Dalam perkembangan berkaitan, peratusan PTJ yang memperoleh penarafan 5 Daun menunjukkan peningkatan konsisten daripada 53.7 peratus pada tahun 2024 kepada 60 peratus pada tahun 2025, sebelum melonjak kepada 86.3 peratus pada tahun ini.
Selain 107 PTJ yang menerima penarafan 5 Daun, sebanyak 10 PTJ memperoleh 4 Daun manakala tujuh lagi menerima 3 Daun.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran berkata, peningkatan pencapaian tersebut perlu disusuli dengan usaha memperkukuh kematangan amalan kelestarian serta menilai impak pelaksanaannya secara lebih menyeluruh.
Penilaian Pejabat Hijau USM 2026 melibatkan 44 indikator merangkumi aspek perolehan hijau, pengurusan sisa, kecekapan sumber serta penglibatan pelajar, staf dan komuniti di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Kesihatan, Hospital Pakar USM, dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan pula, penilaian yang dilaksanakan oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) USM berdasarkan 19 indikator telah menyaksikan 18 PTJ menerima pengiktirafan, meliputi tiga pemenang utama, enam penerima saguhati dan sembilan penerima Anugerah Kecemerlangan.
Pada majlis sama, USM turut melancarkan USM 5-Year Sustainability Transformation Plan 2026–2030 yang menggariskan hala tuju transformasi kelestarian universiti merangkumi tadbir urus, operasi kampus, pendidikan, penyelidikan serta kerjasama komuniti dan industri, dengan penekanan terhadap tindakan berasaskan impak yang boleh diukur.
Pelaksanaan Penarafan Pejabat Hijau USM 2026 turut mendapat sokongan Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia menerusi penajaan hadiah utama bernilai RM10,000 bagi menggalakkan PTJ meningkatkan prestasi dan membudayakan penggunaan tenaga serta sumber secara berhemah.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Hadiah Lonjakan Lestari kepada empat PTJ yang meningkatkan pencapaian daripada 1 Daun pada 2025 kepada 5 Daun pada tahun ini, selain pengiktirafan Program Lestari Berimpak kepada lima inisiatif kelestarian yang menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan warga universiti.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengarah Komunikasi Strategik SEDA Malaysia, Izzad Zalman Abd Kader; Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar@Mustapha; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Ketua Pustakawan Perpustakaan Hamzah Sendut USM, Arinawati Ayob; Pengarah Pejabat Kelestarian Universiti (PKU), Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dan Pengarah Program, Chm. Dr. Normaliza Abdul Manaf; serta Ketua Unit UKKP USM, Mohd Hafizul Mohd Arop.
Sumber Teks: Chm Dr. Normaliza Abdul Manaf, Pejabat Kelestarian Universiti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM/Suntingan: Nur Anis Sophilia Zaidin, Intern@MPRC, USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq