Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM PERKASA PERANAN KOMUNITI DALAM EKONOMI BERNILAI TINGGI MENERUSI COMPASSION BEYOND 2030

USM PULAU PINANG · 7 September 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) memperkukuh agenda pemerkasaan komuniti dengan menganjurkan Strategic Round Table Discussion COMPASSION Beyond 2030 di Kuala Lumpur, hari ini.

Program bertemakan Redefining the Role of Communities in Malaysia's High-Value Economy itu dianjurkan khusus bagi mentakrifkan semula peranan komuniti dalam mendepani transformasi ekonomi negara.

Ia termasuk memberi tumpuan kepada usaha mengalih paradigma daripada model kebajikan tradisional melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pendekatan komuniti sebagai rakan kongsi ekonomi strategik berasaskan pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran berkata, program berkenaan dianjurkan pada masa yang penting ketika semua pihak perlu berganding bahu menangani empat jurang struktural utama.

Katanya, jurang itu termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang mengatasi keupayaan tadbir urus, batas planet yang semakin melepasi had selamat, kemerosotan kepercayaan geopolitik serta cabaran keadilan antara generasi.

Beliau juga berkata, ketika Malaysia beralih ke arah ekonomi bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan, intervensi yang terancang dan inklusif amat penting bagi memastikan komuniti rentan tidak tercicir daripada arus pembangunan.

Program itu turut menampilkan sesi perkongsian khas mengenai cabaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Penasihat Persatuan Promosi Matlamat Pembangunan Mampan (PPMPL), Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

Beliau dalam perkongsiannya mengutarakan dua tindakan utama, iaitu “Beyond 2030” dan “Beyond GDP”, termasuk keperluan Malaysia menilai semula peranan SDG yang akan berakhir pada 2030 berdasarkan perkembangan semasa alam sekitar dan ekonomi dunia.

Menurut Mustapa, pengukuran berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata tidak lagi relevan dan memerlukan indeks baharu yang lebih inklusif.

Dalam pada itu, COMPASSION Beyond 2030 memberi fokus kepada tiga teras utama, iaitu CONNECT, CONVERT dan SCALE.

CONNECT memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan keutamaan komuniti dengan sumber serta modal pelaburan ESG korporat, manakala CONVERT memfokuskan transformasi pelaburan ESG dan karbon kepada penyelesaian komuniti yang boleh diukur serta disahkan.

Sementara itu, SCALE bertujuan membina rangka kerja tadbir urus pelbagai sektor bagi memperluas model impak secara mampan.

Bagi merealisasikan aspirasi berkenaan, pelaksanaan program diperluas menerusi tujuh domain strategik, meliputi Celik Digital, Pertanian Pintar, Ekonomi Penjagaan Kesihatan, Kelestarian Melingkar, Kemahiran Masa Depan (TVET), Ekonomi Warisan dan Keusahawanan Sosial.

Program berkenaan turut menyaksikan penandatanganan Dokumen Kerjasama (MoU) antara USM dan Ventrex Outdoor Recreation bagi memperkukuh jaringan strategik serta pelaksanaan blueprint impak sosial.

Teks & Foto: Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal