Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM PERKASA KEPIMPINAN PENGANTARABANGSAAN PELAJAR MELALUI PENYERTAAN iFUTURE 2026

PULAU PINANG · 21 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda pembangunan kepimpinan mahasiswa melalui penyertaan seramai 50 pelajar dalam program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 11 hingga 13 Oktober 2026.

Penyertaan ini mencerminkan komitmen USM dalam melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing, berfikiran global serta mampu mendepani cabaran kepimpinan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Daripada jumlah tersebut, seramai 40 orang merupakan pelajar tempatan yang terdiri daripada pemimpin muda mahasiswa, manakala 10 orang lagi ialah pelajar antarabangsa dari pelbagai negara. Kepelbagaian latar belakang peserta ini membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pertukaran perspektif serta pembinaan jaringan antara mahasiswa tempatan dengan mahasiswa antarabangsa dalam suasana pembelajaran yang inklusif dan dinamik.

Program yang menghimpunkan lebih 1,200 peserta daripada pelbagai institusi pendidikan dalam dan luar negara ini menyediakan platform untuk mahasiswa memperluas pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kepimpinan, komunikasi strategik, kerja berpasukan serta pembangunan potensi diri. Melalui pelbagai pengisian yang dilaksanakan, para peserta berpeluang memahami pendekatan kepimpinan yang lebih progresif, membina keyakinan diri, dan meningkatkan keupayaan untuk memimpin dalam persekitaran yang semakin kompleks dan saling berhubung.

Penyertaan dalam iFuture 2026 turut memberikan pendedahan bermakna kepada mahasiswa USM tentang kepentingan kolaborasi antarabangsa, kefahaman silang budaya, dan pembinaan rangkaian strategik. Interaksi bersama peserta daripada pelbagai latar belakang membolehkan mahasiswa bertukar idea, berkongsi amalan terbaik serta meneroka peluang kerjasama yang berpotensi diteruskan dalam pelaksanaan program dan inisiatif pembangunan mahasiswa pada masa hadapan.

Penyertaan delegasi USM dalam program ini turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, yang mencerminkan sokongan dan komitmen kepimpinan universiti terhadap pembangunan mahasiswa secara holistik. Sokongan ini selari dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kepimpinan, kemahiran insaniah, keupayaan beradaptasi, dan kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai warga global.

Secara keseluruhannya, penyertaan USM dalam i-Future 2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem kepimpinan mahasiswa yang lebih dinamik, inklusif, dan berorientasikan masa hadapan. Pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang program ini diharapkan dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan inisiatif kepimpinan, kesukarelawanan, dan kolaborasi rentas budaya di kampus, sekali gus menyokong aspirasi USM untuk melahirkan pemimpin muda yang berintegriti, berwawasan dan mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Program ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah, Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA, USM