Skip to main content
BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 20 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan warga kerja menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu bagi menghargai komitmen, kreativiti dan dedikasi enam kumpulan yang mewakili universiti dalam Konvensyen Horizon Baharu KIK Peringkat Universiti Awam Kali Ke-18 Tahun 2026.

Majlis anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI), Jabatan Pendaftar itu diadakan di Dewan Bankuet USM, sebagai pengiktirafan terhadap usaha warga universiti menghasilkan inovasi yang berpotensi meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Pengiktirafan itu diberikan susulan pencapaian enam kumpulan KIK USM dalam konvensyen yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 4 hingga 6 Ogos 2026, yang menghimpunkan 53 kumpulan dari universiti awam seluruh negara.

Keenam-enam kumpulan itu berjaya meraih lima anugerah utama, selain memperoleh tiga penarafan emas dan tiga penarafan perak. Pencapaian itu mencerminkan keupayaan warga USM dalam menerapkan kreativiti, inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tugas.

Kumpulan INORVASI meraih Anugerah Terbaik Keseluruhan bagi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan, selain muncul johan bagi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan).

Kumpulan TRANSFORMASI OKU dan RAD-TRACKERS pula masing-masing meraih naib johan bagi kategori Inovasi Sosial (Penciptaan) dan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan), manakala kumpulan FACE-EX9 menerima Anugerah Inovasi Harapan bagi kategori Inovasi Sosial (Penambahbaikan).

Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, hadir bagi menyampaikan penghargaan universiti kepada semua peserta atas komitmen dan usaha mereka dalam mengharumkan nama USM. Turut hadir ialah Pengarah PTI, Nurul Izzati Rozali, serta ahli kumpulan KIK yang mewakili universiti.

Penganjuran majlis itu mencerminkan pengiktirafan pihak pengurusan universiti terhadap sumbangan warga kerja dalam menjana idea kreatif dan menghasilkan penyelesaian inovatif yang menyokong kecemerlangan organisasi.

Usaha itu turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama berpasukan dan budaya penambahbaikan berterusan, selaras dengan aspirasi USM untuk meningkatkan kecekapan operasi serta mutu penyampaian perkhidmatan universiti.

Teks: Pusat Transformasi Insan (PTI) / Pusat Media dan Perhubungan Awam
Foto: Pusat Transformasi Insan (PTI) / Jabatan Pendaftar USM