Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh peranannya di peringkat serantau menerusi kerjasama Malaysia-Peru dalam memperkasa penyertaan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta ekonomi digital melalui projek Women in STEM and Digital Economy Policy Study di bawah kerangka Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Projek bernilai kira-kira RM517,000 itu diterajui oleh Dr. Miharaini Md Ghani dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Carlos Rodrich Portugal dari Universidad de Piura, Peru, dengan sokongan dan fasilitasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysia serta Consejo Nacional de Ciencia, Tecnología e Innovación Tecnológica (CONCYTEC), Peru.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek, APEC Policy Lab berlangsung di Dalian, China pada 17 hingga 18 Ogos 2026, menghimpunkan pakar, penyelidik dan wakil ekonomi APEC untuk berkongsi pengalaman, mengenal pasti cabaran serta membincangkan pendekatan dasar yang boleh disesuaikan dengan konteks domestik setiap ekonomi.
USM turut mengetengahkan kepakaran ekonomi menerusi penglibatan Prof. Dr. Saidatulakmal Mohd sebagai pakar dan penceramah mewakili Malaysia dalam bidang ekonomi. Beliau menyumbang perspektif berkaitan penyertaan ekonomi wanita, pembangunan kerjaya, keusahawanan serta peluang memperoleh manfaat ekonomi daripada perkembangan teknologi dan pendigitalan.
Menurut Dr. Miharaini, usaha memperkasa wanita dalam era digital perlu melangkaui aspek penggunaan dan penguasaan teknologi.
Projek ini dijangka menghasilkan kertas kajian dasar, cadangan dasar berasaskan bukti dan Digital Toolkit yang menghimpunkan amalan terbaik, sumber serta strategi praktikal untuk menyokong ekonomi APEC dalam memperkukuh penyertaan wanita dalam STEM dan ekonomi digital.
Toolkit berkenaan turut berfungsi sebagai sumber rujukan kepada pembuat dasar dan pihak berkepentingan dalam mengenal pasti pendekatan dan intervensi yang bersesuaian dengan keperluan setiap ekonomi.
Penglibatan Dr. Miharaini sebagai peneraju projek dari Malaysia dan Prof. Dr. Saidatulakmal sebagai pakar ekonomi memperlihatkan keupayaan USM menggabungkan kepakaran multidisiplin serta menyumbang kepada pembangunan dasar serantau yang lebih inklusif dan berasaskan bukti.