Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM Naik Tujuh Anak Tangga ke Kedudukan Ke-27 QS Asia University Rankings 2027

PULAU PINANG · 3 November 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara universiti terbaik di Asia apabila meningkat tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 dalam QS Asia University Rankings 2027, sekali gus menempatkan USM dalam kelompok 2% teratas daripada 1,725 universiti yang dinilai di seluruh Asia.

Pencapaian terkini ini mencerminkan kemajuan berterusan USM dalam aspek pengantarabangsaan, kecemerlangan akademik, jaringan penyelidikan serta pengalaman pembelajaran, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara universiti terkemuka Malaysia di rantau ini.

USM mencatatkan skor penuh dalam dua indikator utama, iaitu Jaringan Penyelidikan Antarabangsa dan Nisbah Pelajar Antarabangsa, yang menyerlahkan kekuatan jaringan penyelidikan global serta keterangkuman antarabangsa universiti berkenaan.

USM turut mencatatkan prestasi cemerlang dalam Reputasi Akademik dengan skor 99.7% dan Reputasi Majikan dengan skor 98.7%, yang mencerminkan pengiktirafan tinggi terhadap kecemerlangan akademik USM serta kualiti graduannya dalam kalangan komuniti akademik dan majikan.

USM menunjukkan peningkatan dalam tujuh daripada keseluruhan 11 indikator yang dinilai dalam QS Asia University Rankings 2027, memperlihatkan kemajuan menyeluruh dalam tiga lensa utama penarafan, iaitu Penglibatan Global (Global Engagement), Pengalaman Pembelajaran (Learning Experience), serta Penyelidikan dan Penemuan (Research and Discovery).

Di bawah lensa Penglibatan Global, USM mencatatkan peningkatan dalam indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa, Staf Antarabangsa dan Pertukaran Pelajar Masuk. Peningkatan ini mencerminkan pengukuhan hubungan antarabangsa, kepelbagaian komuniti universiti serta mobiliti pelajar USM.

Bagi lensa Pengalaman Pembelajaran, USM turut mencatatkan peningkatan dalam indikator Nisbah Staf-Pelajar dan Staf Berkelayakan PhD, selaras dengan usaha berterusan universiti memperkukuh kapasiti akademik serta kualiti persekitaran pembelajaran.

Dalam lensa Penyelidikan dan Penemuan, peningkatan turut dicatatkan bagi indikator Bilangan Penerbitan per Staf dan Sitasi per Penerbitan, menunjukkan pengukuhan berterusan produktiviti dan impak penyelidikan USM.

Antara pencapaian paling ketara ialah peningkatan konsisten dalam indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa sepanjang lima edisi terakhir. USM meningkat daripada kedudukan ke-15 dalam QS Asia University Rankings 2023 kepada kedudukan ke-2 dalam edisi 2027.

USM turut mencatatkan peningkatan signifikan dalam indikator Pertukaran Pelajar Masuk apabila melonjak ke kedudukan ke-167 dalam edisi 2027 berbanding kedudukan ke-243 pada edisi 2026, iaitu peningkatan sebanyak 76 anak tangga.

Keputusan terkini ini memperlihatkan usaha berterusan USM dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, jaringan penyelidikan, kecemerlangan akademik dan penglibatan global, sekali gus menyokong aspirasi universiti untuk terus berdaya saing serta diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai universiti berintensifkan penyelidikan terkemuka di Asia.

Teks: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC)
Foto: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC)