Universiti Sains Malaysia (USM) meraih gelaran Naib Johan Kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam Perbarisan Merdeka Ke-69 Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 yang berlangsung penghujung Ogos lalu.
Keputusan pertandingan itu diumumkan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, di sini semalam.
Atas pencapaian itu, Kontinjen Perbarisan USM membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil dan piala iringan.
Kontinjen berkenaan terdiri daripada staf USM daripada pelbagai jawatan dan skim perkhidmatan yang menjalani beberapa sesi latihan dan raptai sebagai persediaan menghadapi pertandingan.
Latihan yang dijalankan memberi tumpuan kepada penguasaan pergerakan, keserasian anggota, disiplin serta keyakinan dalam melaksanakan persembahan perbarisan.
Hasil persediaan dan komitmen yang diberikan, Kontinjen Perbarisan USM menampilkan persembahan yang kemas, bertenaga dan tersusun sehingga berjaya menempatkan diri sebagai Naib Johan Kategori IPT.
Penyertaan tersebut turut mencerminkan komitmen warga USM dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan, selain memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan warga universiti.
Naib Canselor USM serta seluruh warga Universiti Sains Malaysia merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Kontinjen Perbarisan USM atas pencapaian berkenaan serta kesungguhan yang ditunjukkan dalam membawa nama USM di peringkat negeri.