Skip to main content

USM, MPI TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH PENDIDIKAN KEWARTAWANAN

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 1 Oktober 2026

USM PULAU PINANG, 1 Oktober 2026 – Seiring dengan perkembangan landskap media semasa, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) komited menjalin kerjasama strategik dengan Malaysian Press Institute (MPI) bagi memperkukuh bidang kewartawanan serta menarik minat lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang tersebut.

Perbincangan mengenai usaha bersama itu dibuat ketika MPI mengadakan kunjungan kerja ke USM baru-baru ini, yang turut dihadiri Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Dekan PPK USM, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar.

Kunjungan tersebut turut bertujuan membincangkan penyediaan kemudahan dan fasiliti di USM bagi menjayakan program kolaborasi pada Disember 2026, yang bakal memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan bidang kewartawanan di institusi pengajian tinggi.

Mengulas perkembangan semasa, Soo Heong berkata, MPI melihat perubahan pesat teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), sebagai antara perkembangan yang perlu diberi perhatian dalam mempersiapkan bakal graduan menghadapi landskap media masa depan.

Menurut beliau, organisasi media dan institusi kewartawanan perlu terus memperkukuh peranan dalam membangunkan generasi wartawan yang mampu menggabungkan kemahiran teknologi dengan nilai kewartawanan profesional, khususnya dari aspek ketepatan, pertimbangan editorial dan etika.

Bahiyah dalam pada itu menegaskan, perubahan landskap media turut mempengaruhi kecenderungan mahasiswa dalam memilih bidang pengajian, termasuk pengkhususan dalam kewartawanan di USM.

“Dalam usaha memastikan program kewartawanan terus selari dengan perkembangan industri, PPK USM sentiasa mengambil inisiatif untuk memperkasa modul pengajian sedia ada dengan mengambil kira keperluan dan perubahan semasa.

“Pada masa sama, kerjasama lebih erat dengan pihak industri dilihat penting bagi meneroka pendekatan serta inisiatif baharu yang dapat memperkukuh daya tarikan bidang kewartawanan dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama dengan MPI adalah amat signifikan khusunya dalam membantu meningkatkan kesedaran mahasiswa serta menyebarkan maklumat yang tepat mengenai prospek kerjaya dalam bidang media, sekali gus memperkukuh minat generasi muda terhadap bidang kewartawanan profesional.

Teks: Nur Anis Sophilia Zaidin, Intern@MPRC, USM
Foto: Mohd Fairus Md Isa