Skip to main content

USM MELONJAK KE KELOMPOK 350 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA DALAM THE WUR 2027


BERITA MUTAKHIR
 
PULAU PINANG · 30 September 2026
 

PULAU PINANG, 30 September 2026 — Universiti Sains Malaysia (USM) memasuki kelompok 350 universiti terbaik dunia apabila meningkat ke kelompok 326–350 dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.

Dengan 2,297 universiti disenaraikan dalam edisi terbaharu ini, USM kini berada sekitar 15 peratus teratas dalam kalangan universiti yang dinilai di seluruh dunia. Kedudukan ini meneruskan kemajuan USM di persada antarabangsa, selepas berada dalam kelompok 601–800 pada 2020 hingga 2023 dan kelompok 401–500 pada 2024 hingga 2026.

Pencapaian ini memperlihatkan kemajuan sebuah universiti penyelidikan Malaysia dalam persaingan global, dengan peningkatan skor dalam kesemua lima komponen penilaian THE.

Pengantarabangsaan kekal sebagai kekuatan paling menonjol USM dengan skor 80.4, meningkat daripada 76.5 pada edisi sebelumnya. Prestasi ini mencerminkan dimensi antarabangsa universiti melalui pelajar dan staf antarabangsa serta penyelidikan bersama rakan akademik merentas negara.

Hubungan dengan industri turut menjadi antara sorotan utama apabila skor komponen Industri meningkat 10.6 mata kepada 75.1, peningkatan terbesar dalam kalangan lima komponen. Prestasi ini memperkukuh kedudukan pemindahan ilmu sebagai salah satu kekuatan USM, menghubungkan hasil penyelidikan dengan inovasi dan pembangunan teknologi.

Kualiti Penyelidikan terus menjadi asas penting kepada pencapaian universiti dengan skor 66.2. Komponen ini menilai sejauh mana penyelidikan universiti dirujuk dan mempengaruhi perkembangan ilmu dalam komuniti akademik global.

Peningkatan dalam Pengajaran dan Persekitaran Penyelidikan turut melengkapkan pencapaian tersebut, memperlihatkan kemajuan dalam indikator persekitaran pembelajaran dan kapasiti penyelidikan universiti.

Bagi USM, pengiktirafan ini membawa tanggungjawab untuk memastikan kecemerlangan akademik memberi manfaat kepada masyarakat. Tumpuan universiti kekal pada pendidikan yang membangunkan bakat serta penyelidikan yang membantu menangani cabaran negara dan dunia.

USM merakamkan penghargaan kepada warga akademik, penyelidik, staf dan pelajar serta rakan kerjasama industri dan Komuniti yang menyumbang kepada pencapaian ini.

USM terus memberi tumpuan kepada mutu pendidikan, kecemerlangan penyelidikan dan manfaat ilmu kepada masyarakat.

Teks: Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC),USM / Poster: Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), USM