Universiti Sains Malaysia (USM) dan Karlsruhe Institute of Technology (KIT), Jerman, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama jangka panjang dalam penyelidikan, pendidikan dan inovasi kelestarian.
Kerjasama strategik itu sekali gus membuka peluang kepada pembangunan penyelesaian berasaskan bukti untuk menangani cabaran sosioekonomi dan kemampanan komuniti.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran berkata, pemeteraian MoU itu berlangsung bersempena penyertaan USM dalam International Hubs Conference 2026 yang diadakan di KIT baru-baru ini.
Katanya, pemeteraian itu turut menjadi satu pencapaian penting sepanjang persidangan berkenaan, dengan kedua-dua institusi bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang Sustainability Science, Transdisciplinary Research, Urban Sustainability and Resilience, Digital and Immersive Research Infrastructures, Sustainability Education dan Transformative Innovation.
“Kerjasama tersebut menyediakan kerangka rasmi bagi pelaksanaan penyelidikan bersama, perkongsian metodologi dan data, pembangunan infrastruktur pengetahuan dan data bersama, penerbitan ilmiah serta penyediaan ringkasan dasar (policy brief).
“MoU itu turut membuka ruang kepada pertukaran penyelidik, staf dan pelajar, pelaksanaan latihan serta bengkel, di samping penerokaan peluang pembiayaan bersama bagi menyokong agenda penyelidikan dan inovasi kedua-dua institusi,” katanya.
Selain kerjasama akademik, MoU itu turut membuka peluang untuk menguji, menyesuaikan dan memperluas kaedah serta inovasi kelestarian yang terbukti berkesan di sesebuah negara kepada konteks wilayah lain, dengan mengambil kira keperluan dan persekitaran setempat.
Bagi USM, antara potensi utama kerjasama ini ialah pembangunan regional hubs atau hab serantau serta infrastruktur pengetahuan antarabangsa yang membolehkan pengalaman lapangan, data dan hasil projek sosioekonomi dianalisis secara lebih sistematik bersama KIT.
Pendekatan ini juga berpotensi menghubungkan pengalaman pelaksanaan projek komuniti USM dengan konsep Real World Laboratory, iaitu pendekatan penyelidikan yang menguji dan menilai penyelesaian dalam persekitaran sebenar dengan penglibatan pihak berkepentingan.
Dalam jangka panjang, kerjasama tersebut berpotensi membantu USM memperkukuh asas bukti bagi pelaksanaan projek komuniti, mengenal pasti faktor kejayaan dan cabaran dengan lebih tepat serta memanfaatkan dapatan penyelidikan untuk menambah baik perancangan dan reka bentuk inisiatif sosioekonomi pada masa hadapan.
Dalam pada itu, USM turut menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi dari Asia yang menyertai persidangan tersebut bersama institusi rakan dari Afrika Selatan, Mexico, Kanada dan Jerman.
Hadir sama dalam persidangan itu ialah Ketua Pengurus Program Sosioekonomi, Unit PENERAJU merangkap Penolong Pendaftar USM, Nik Mohamad Syazne Nik Ezanee.