USM KETENGAHKAN PROJEK CENDAWAN VOLVARIELLA SEMPENA FESTIVAL KOTA WARISAN PERAI
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Program Bersasar Sustainable Development Goals (SDG) sempena Festival Kota Warisan Perai yang berlangsung di Kota Warisan, Kampung Terus, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Penyertaan PPPJJ USM dalam program tersebut mengetengahkan Projek Cendawan Volvariella, yang merupakan salah satu inisiatif berteraskan kelestarian, inovasi, dan pemanfaatan sumber secara mampan.
Projek berkenaan dikendalikan di bawah bimbingan Dr. Jacquelina Karimon, Profesor Madya ChM. Dr. Tan Wen Nee, Nor Rafizah Md Zain, dan beberapa orang ahli lagi.
Projek Cendawan Volvariella yang dipamerkan mendapat perhatian pengunjung melalui penerangan berkaitan potensi cendawan sebagai sumber makanan serta peluang untuk dikembangkan sebagai satu inisiatif yang menyokong agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti.
Penyertaan PPPJJ USM dalam program ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan kepakaran dan hasil inovasi warga akademik USM kepada masyarakat, di samping menggalakkan perkongsian ilmu serta kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.
Penyelidik USM juga terlibat dan mempunyai program komuniti bersama Kampung Matahari Naik di Tasek Gelugor, Seberang Perai.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah dan menghimpunkan pelbagai aktiviti serta inisiatif yang berkaitan dengan agenda pembangunan mampan dan pemerkasaan komuniti.
Penglibatan PPPJJ USM dalam Festival Kota Warisan Perai membuktikan komitmen berterusan pusat pengajian dalam menyokong agenda SDG serta memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti melalui perkongsian ilmu, inovasi, dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.