Skip to main content

USM KENANG JASA DEKAN PENGASAS PPS FIZIK, RAIKAN ULANG TAHUN KE-97

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 17 September 2026

Delegasi Pusat Pengajian Sains Fizik (PPS Fizik), Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan kunjungan mesra ke kediaman Dekan Pengasas PPS Fizik, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Chatar Singh, bagi menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan jasa beliau serta meraikan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-97.

Kunjungan itu turut menjadi kesempatan buat warga PPS Fizik menyampaikan penghargaan atas sumbangan beliau dalam membina asas serta mencorakkan perkembangan pendidikan dan penyelidikan bidang fizik di USM.

Dalam suasana mesra, delegasi berkesempatan beramah-mesra dan mendengar perkongsian beliau mengenai pengalaman serta perkembangan awal pembentukan USM amnya dan perjalanan PPS Fizik khususnya.

Perkongsian berkenaan memberikan peluang kepada delegasi mengenali dengan lebih dekat sejarah awal penubuhan universiti dan perkembangan PPS Fizik. Sumbangan, kepimpinan dan visi beliau turut menjadi sebahagian daripada legasi yang bermakna kepada generasi ahli akademik dan kakitangan PPS Fizik sehingga kini.

Sambutan ulang tahun kelahiran ke-97 itu turut diserikan dengan acara memotong kek bersama ahli keluarga beliau dan juga warga PPS Fizik. Walaupun berlangsung secara sederhana, sambutan berkenaan diraikan dalam suasana mesra, penuh penghargaan dan semangat kekeluargaan.

Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen USM dalam menghargai jasa tokoh terdahulu yang memainkan peranan penting dalam penubuhan dan pembangunan universiti, di samping memastikan sejarah, nilai dan legasi institusi terus dikenang serta diwarisi oleh warga universiti.

Teks: Prof. Madya Dr. Mohd Mahadi Halim, Pusat Pengajian Sains Fizik
Foto: Prof. Madya Dr. Mohd Mahadi Halim, Pusat Pengajian Sains Fizik