USM JULUNG KALI TUAN RUMAH MESYUARAT JAWATANKUASA PENGURUSAN PSIKOLOGI DAN KAUNSELING UNIVERSITI AWAM KALI KE-20
Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Psikologi dan Kaunseling Universiti Awam (JKPPsiKUA) Kali Ke-20 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Persidangan Universiti (DPU), USM, baru-baru ini.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan Pegawai Psikologi Staf daripada universiti awam seluruh Malaysia dan dipengerusikan oleh Pendaftar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merangkap Pengerusi JKPPsiKUA, Fazielah Mohamad.
Turut hadir ialah Pendaftar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) merangkap Timbalan Pengerusi JKPPsiKUA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim. Selain wakil universiti awam, mesyuarat tersebut turut disertai wakil Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani (TABTAR).
Penganjuran mesyuarat di USM menjadi platform kepada Pegawai Psikologi Staf universiti awam untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan pendekatan dalam pengurusan serta penyampaian perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada warga universiti.
Perbincangan turut memberi ruang kepada ahli jawatankuasa untuk berkongsi amalan dan inisiatif yang dilaksanakan di universiti masing-masing, khususnya dalam aspek kesejahteraan psikologi, pembangunan staf serta pengukuhan perkhidmatan psikologi dan kaunseling.
Selain agenda mesyuarat, para peserta turut mengikuti Sesi Perkongsian Ilmu bertajuk “Pengendalian Krisis: Dari Model ke Praktik” yang disampaikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM, Profesor Madya Dr. Nor Shafrin Ahmad.
Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pengendalian krisis daripada aspek model dan aplikasinya dalam amalan, khususnya dalam bidang psikologi dan kaunseling.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, para peserta turut mengadakan kunjungan ke Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM, sebagai salah satu aktiviti pengenalan kepada kemudahan dan khazanah universiti.
JKPPsiKUA merupakan platform kerjasama antara universiti awam dalam memperkukuh pengurusan dan perkhidmatan psikologi serta kaunseling staf melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan baik antara universiti.
Penganjuran mesyuarat kali ini turut mencerminkan usaha berterusan universiti awam dalam memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang psikologi dan kesejahteraan staf, selaras dengan keperluan persekitaran kerja yang semakin dinamik.