USM, INFINEON DAN CREST LANCAR AKADEMI, PERKASA PEMBANGUNAN BAKAT SEMIKONDUKTOR DI MALAYSIA
Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kerjasama strategik antara universiti dengan industri menerusi pelancaran Infineon WBG Technology Academy 2026 yang berlangsung di Auditorium Murad Mohd Noor, Sains@USM, di sini hari ini.
Program anjuran bersama Infineon Technologies, Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dan USM itu dihadiri hampir 50 orang, termasuk wakil industri, ahli akademik, penyelidik, dan pelajar ketika majlis perasmian berlangsung.
Program tersebut memberi tumpuan kepada teknologi Wide Bandgap (WBG), khususnya silikon karbida (SiC) dan galium nitrida (GaN), bagi memperkasa pembangunan bakat dalam industri semikonduktor.
Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, industri semikonduktor memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi masa hadapan, termasuk kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik, dan tenaga boleh diperbaharui.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara universiti, industri, dan kerajaan selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
“Sebagai universiti APEX, USM kekal komited untuk memperkasa penyelidikan, inovasi, dan pembangunan bakat dalam bidang semikonduktor.
“Melalui kepakaran dalam kejuruteraan, sains bahan, mikroelektronik, dan nanoteknologi, USM sentiasa bekerjasama rapat dengan industri bagi menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian yang memberi manfaat dalam dunia sebenar,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Ts. Jaffri Ibrahim menggalakkan peserta memanfaatkan kemudahan penyelidikan berteknologi tinggi, berinteraksi dengan penyelidik, dan meneroka peluang dalam industri semikonduktor semasa berlangsungnya program tiga hari tersebut.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dengan universiti bagi meningkatkan penciptaan nilai dalam industri berkenaan, sekali gus menyokong aspirasi semikonduktor negara.
Dalam pada itu, Naib Presiden Infineon, V. Lakshmanan yang menyempurnakan pelancaran akademi Infineon itu, menegaskan bahawa kerjasama antara Infineon dengan USM membuka peluang kepada pelajar untuk memperluas pengetahuan dan kemahiran teknologi.
Beliau turut menekankan kepentingan kecerdasan buatan (AI) serta kedudukan strategik USM di Pulau Pinang, yang berhampiran dengan pusat operasi Infineon di Kulim, dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri.
“Saya berharap kerjasama antara Infineon, CREST, dan USM dapat dikembangkan bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar yang mampu memenuhi keperluan industri semikonduktor,” katanya.
Pelancaran Infineon WBG Technology Academy 2026 mencerminkan komitmen USM dalam memperkukuh hubungan antara penyelidikan akademik dengan keperluan industri, di samping memperluas perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi demi masa depan semikonduktor Malaysia.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran; Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC) Pulau Pinang, Mohamad Azrol Mohamad Dali; Ketua Wilayah Utara, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Aziz Kevin Lee; Naib Presiden dan Ketua Wilayah Utara TalentCorp, Nor Asmahan Othman; Pengarah Jaringan Industri USM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil; bersama-sama Dekan dan Pengarah USM, wakil agensi kerajaan serta rakan strategik.