Skip to main content

USM IKTIRAF KECEMERLANGAN PENYELIDIKAN PADA MAJLIS ANUGERAH SANGGAR SANJUNG 2025

USM PULAU PINANG, 25 November 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju penyelidikan dan inovasi apabila menganjurkan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS) 2025 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini semalam.

Mengangkat tema "Menggapai Langit, Mengakar di Bumi", penganjuran majlis berprestij yang mula diperkenalkan pada tahun 2001 tersebut bertujuan mengiktiraf sumbangan cemerlang warga universiti dalam pelbagai lapangan akademik, penyelidikan, dan khidmat masyarakat.

Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Canselor, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, serta Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailaitul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib dan Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.

DYMM Tuanku Canselor berkenan menyampaikan Titah Diraja selain menyempurnakan pengurniaan Anugerah Khas dan Anugerah Penyelidik Harapan.

DYMM Tuanku Canselor turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku “Tuanku Fauziah – Serambi Kasih Mahligai Bakti” sebelum menerima persembahan cendera kenangan serta naskhah buku berkenaan bersama DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dianugerahkan Anugerah Tokoh Kepimpinan dalam Penyelidikan, iaitu anugerah yang julung kali diperkenalkan untuk mengiktiraf kepimpinan beliau dalam meningkatkan reputasi dan keterlihatan penyelidikan USM serta dalam pembangunan bakat bidang semikonduktor.

Tiga orang ahli akademik cemerlang yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Penyelidik Harapan ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kimia USM, Profesor Dr. Mohd Hazwan Hussin; serta Pensyarah-pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dan Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Teh Jiashen.

MASS 2025 merangkumi lapan kategori utama iaitu Penerbitan Buku, Paten, Pengkomersialan Produk Penyelidikan, Kreativiti, Ketokohan, Geran Penyelidikan Industri, Geran Penyelidikan Antarabangsa, dan Penerbitan Jurnal.

MASS 2025 merekodkan pencapaian yang memberangsangkan dengan menerima sebanyak 1,000 permohonan merangkumi pelbagai kategori, dan daripada jumlah tersebut, kategori Penerbitan Jurnal mencatatkan 411 permohonan dengan 377 jurnal berjaya dipilih sebagai pemenang.

Empat kategori pengiktirafan tambahan turut disampaikan bagi menghargai sumbangan warga universiti yang cemerlang iaitu Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Pentadbir Sanjungan, Anugerah Sanjungan Industri, dan Anugerah Kepimpinan Masyarakat.

Penganjuran kali ini turut mengetengahkan kejayaan USM meraih empat pengiktirafan di Malaysia Scopus Research Star Award 2025, selain memacu penyelidikan rentas disiplin, inovasi teknologi, jaringan kerjasama antarabangsa, pemeliharaan warisan, pengukuhan impak dalam menjadi sumber rujukan oleh penyelidikan lain, dan penerbitan ilmiah.

Malam gilang gemilang tersebut turut dihadiri Pro-Pro Canselor USM bersama pasangan; Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Gabenor USM bersama pasangan; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Pulau Pinang bersama pasangan; serta tetamu kenamaan lain termasuk wakil-wakil industri yang menjadi rakan kolaborasi strategik USM.  

Teks:Nur Anis Sophilia Zaidin, Intern@MPRC
Suntingan: Marziana Mohamed Alias
Foto: Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC)
Susun Atur: Azrie Azeem Ab Wahab