USM PULAU PINANG, 29 Oktober 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) menghimpunkan komuniti kejuruteraan antarabangsa menerusi USM International Conference on Engineering 2026 (USM ICE 2026) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Bertemakan “Advances AI-Driven and Sustainability-Led Global Impact”, persidangan ini menjadi platform untuk ahli akademik, penyelidik dan pakar industri berkongsi hasil penyelidikan, meneroka peluang kerjasama serta membincangkan inovasi kejuruteraan bagi menangani cabaran global.
Naib Canselornya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran termaju dan bahan baharu membuka peluang besar kepada penyelidikan dan inovasi, namun perlu disertai pendekatan yang bertanggungjawab, beretika dan mampan.
Beliau berkata USM komited untuk terus memacu kemajuan kecerdasan buatan (AI) serta memperkukuh kerjasama strategik dengan industri bagi memastikan penyelidikan memenuhi keperluan sebenar industri dan masyarakat.
Selain daripada itu, beliau menyatakan bahawa kerjasama antarabangsa turut penting dalam meningkatkan keupayaan penyelidikan dan memperluas jaringan profesional, khususnya dalam kalangan penyelidik muda.
Sehubungan itu, USM ICE 2026 diharap dapat memperkukuh hubungan akademia-industri, memperluas kolaborasi antarabangsa dan memacu penyelidikan berimpak tinggi.
Tambah beliau, komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan itu selari dengan pencapaian USM yang menduduki tangga ke-128 dalam QS World University Rankings 2027, sekali gus berada di kedudukan pertama dalam kalangan universiti di Malaysia.
“Malah, bidang Kejuruteraan dan Teknologi USM kini turut berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, penganjuran persidangan ini amat bermakna bersempena sambutan ulang tahun ke-25 kampus.
“Penganjuran ini mencerminkan sumbangan kampus selama ini, khususnya dalam pendidikan, kejuruteraan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan,” kata beliau.
Sebanyak enam persidangan khusus dianjurkan sempena USM ICE 2026, iaitu International Conference of Aerospace and Mechanical Engineering 2026 (AeroMech’26), AWAM International Conference in Civil Engineering (AICCE26), 2nd International Conference on Recent Advances in Industrial Engineering and Manufacturing (ICRAIEM 2026), 9th International Conference on Recent Advances in Materials, Minerals and Environment 2026 (RAMM 2026), 9th International Conference on Environment 2026 (ICENV 2026) dan International Semiconductor Innovation Symposium (ISIS 2026).
Persidangan berbilang disiplin ini membuka ruang kepada penyelidik untuk berkongsi penemuan terkini, memperluas kerjasama rentas bidang dan meneroka penyelesaian inovatif yang berpotensi memberi impak kepada industri serta masyarakat.
Turut dianjurkan ialah Talent Development Programme, iaitu sesi khas industri yang mengetengahkan peluang peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling) bagi membantu golongan profesional menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.