USM HIMPUNKAN KEPELBAGAIAN BUDAYA DUNIA MENERUSI INTERNATIONAL DAY 2026
Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menganjurkan International Day 2026: A Tapestry of the World, sebuah acara yang menghimpunkan kepelbagaian bahasa, budaya dan warisan dari seluruh dunia menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan pengalaman pembelajaran rentas budaya.
Program yang berlangsung selama dua hari dari 27 – 28 Oktober di PPBLT, USM itu menjadi platform untuk warga kampus dan masyarakat setempat mendekati keunikan budaya antarabangsa dalam suasana yang santai, inklusif, dan meraikan kepelbagaian komuniti global.
Menurut Ketua Projek International Day 2026, Tunku Fatimah Firdaus Tunku Fariddudin, program tersebut bertujuan menyediakan ruang kepada mahasiswa dan masyarakat untuk menghargai kepelbagaian bahasa serta budaya dunia di samping menggalakkan interaksi dan persefahaman antara komuniti daripada latar belakang yang berbeza.
Beliau berkata, penganjuran International Day bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya antarabangsa, malah memperkukuh peranan bahasa sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat global.
“Melalui International Day 2026, kami berharap warga kampus dan masyarakat dapat merasai pengalaman rentas budaya secara langsung serta memahami bahawa kepelbagaian bahasa dan budaya merupakan aset penting dalam membina masyarakat yang inklusif, harmoni, dan saling menghormati,” kata Tunku Fatimah, seorang Guru Bahasa Perancis di PPBLT.
Pelbagai aktiviti disusun sepanjang program dua hari tersebut, termasuk pameran kebudayaan, persembahan seni dan budaya, pengalaman mencuba pakaian tradisional, seni inai, kaligrafi serta aktiviti penulisan Jawi yang memberi peluang kepada pengunjung memahami kepelbagaian warisan budaya dunia dengan lebih dekat.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai permainan tradisional dan interaktif seperti kuiz, bingo, cabaran bahasa serta aktiviti berasaskan budaya yang direka untuk memperkenalkan bahasa dan tradisi masyarakat antarabangsa secara kreatif dan menyeronokkan.
Bagi pencinta makanan, program tersebut menawarkan pelbagai hidangan dan makanan ringan antarabangsa, termasuk sajian dari Thailand dan tapas, yang memberi pengalaman gastronomi unik kepada para pengunjung sambil memperkenalkan kepelbagaian cita rasa dari pelbagai negara.
Turut diadakan ialah sesi ceramah dan perkongsian ilmu berkaitan bahasa, budaya dan kesusasteraan, selain tayangan filem serta aktiviti istimewa seperti persembahan boneka Teochew, permainan Chinese yoyo, dan pétanque (Perancis) yang menambah lagi keunikan penganjuran program berkenaan.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti kreatif seperti penghasilan kad seni nama Thai, seni lipatan kertas origami dan kraf tradisional turut disediakan bagi menggalakkan penyertaan aktif pengunjung, selain mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan interaktif.
Penganjuran International Day 2026 mencerminkan komitmen USM dalam memupuk kefahaman antara budaya, meraikan kepelbagaian bahasa, dan memperkukuh jaringan komuniti global selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang mempunyai perspektif antarabangsa serta menghargai kepelbagaian masyarakat dunia.