Skip to main content

USM HIMPUN KEPELBAGAIAN BUDAYA DUNIA, PERKUKUH KEFAHAMAN RENTAS BUDAYA

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 29 Oktober 2026

USM PULAU PINANG, 29 Oktober 2026 – Kepelbagaian bahasa dan budaya dunia diraikan menerusi SoLLaT International Day 2026 anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia (USM), yang menghimpunkan pelbagai pengalaman pembelajaran rentas budaya menerusi aktiviti interaktif di sini baru-baru ini.

Bertemakan “A Tapestry of the World – Woven Together by Language and Culture”, program itu memberi peluang kepada warga universiti dan pengunjung mengenali bahasa, tradisi serta warisan masyarakat antarabangsa melalui pameran, persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan aktiviti kreatif.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada SoLLaT International Fiesta 2026, yang turut merangkumi pertukaran akademik antarabangsa, persidangan bahasa Sepanyol serta aktiviti berkaitan kerjaya bersama syarikat multinasional.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad berkata, penguasaan bahasa dan pemahaman budaya penting dalam membentuk graduan yang mampu menyesuaikan diri serta berinteraksi dengan yakin dalam persekitaran antarabangsa.

“Apabila pelajar mempelajari bahasa lain, mereka bukan sekadar memperoleh kaedah komunikasi baharu, malah turut membina keupayaan untuk memahami perspektif berbeza, menyesuaikan diri dengan situasi yang tidak biasa serta menjalin hubungan bermakna dengan individu daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika merasmikan program itu.

Beliau berkata, pendidikan tidak seharusnya terbatas kepada penguasaan ilmu di bilik kuliah, sebaliknya perlu merangkumi pembentukan kemahiran, sikap dan pengalaman yang membolehkan pelajar menghadapi dunia yang semakin saling berhubung.

Sementara itu, Dekan PPBLT USM, Profesor Dr. Hazri Jamil pula berkata, program tersebut menyediakan ruang kepada pengunjung untuk meneroka kepelbagaian bahasa dan budaya secara langsung, sekali gus melengkapkan pembelajaran melalui pengajaran formal dan buku teks.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada organisasi rakan kerjasama, staf akademik dan pentadbiran, jawatankuasa penganjur serta sukarelawan pelajar atas komitmen mereka dalam menjayakan program itu.

Sebanyak 24 reruai disediakan dengan mengetengahkan pelbagai bahasa dan budaya, termasuk Melayu, Sepanyol, India, Inggeris, Arab, Perancis, Thailand, Korea, Jepun dan China. Turut mengambil bahagian ialah Japan Foundation Kuala Lumpur, selain reruai cenderamata dan trak makanan.

Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan, antaranya mencuba pakaian tradisional, seni inai, kaligrafi dan penulisan Jawi, selain menikmati persembahan seni serta meneroka permainan tradisional dari pelbagai negara.

Aktiviti interaktif seperti kuiz, bingo dan cabaran bahasa turut diadakan bagi menggalakkan penyertaan pengunjung, manakala bengkel kreatif menawarkan pengalaman menghasilkan kad seni nama Thai, origami dan kraf tradisional.

Antara tarikan utama ialah persembahan lagu Rasa Sayang dalam 11 bahasa, yang menonjolkan keunikan bahasa sebagai medium menghubungkan masyarakat berbilang budaya.

Program itu turut menampilkan persembahan boneka Teochew, permainan Chinese yoyo dan pétanque dari Perancis, selain sesi ceramah dan perkongsian ilmu berkaitan bahasa, budaya serta kesusasteraan, dan tayangan filem.

Kepelbagaian budaya turut diterokai melalui sajian antarabangsa, termasuk makanan dari Thailand dan tapas, yang memperkenalkan pengunjung kepada cita rasa masyarakat dari pelbagai negara.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Timbalan Konsul Jeneral Thailand merangkap Pemangku Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Suratchaya Palawongse; wakil Pengarah Japan Foundation Kuala Lumpur, Nur Diyana Abd Rahman; Pengarah Alliance Française, Michel Goncalves; serta Pengarah Japan Centre (CHUBU-USM) Industri dan Jaringan Komuniti, Masatoshi Soeda.

Penganjuran SoLLaT International Day 2026 mencerminkan usaha USM memperkukuh kefahaman antara budaya dan hubungan komuniti global melalui pengalaman pembelajaran yang melangkaui bilik kuliah, sekaligus menyokong pembentukan graduan berdaya saing, berfikiran terbuka dan bersedia menghadapi persekitaran antarabangsa.

Teks: Nur Anis Alimi, Intern @ MPRC, USM

Jurufoto: Muhammad Faris Darwisy Mohammad Rafiq