USM PULAU PINANG, 21 September 2026 — Seramai 130 peserta berhimpun dalam Persidangan Bioinformatik Antarabangsa (InCoB/ISCB-APAC 2026) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengetengahkan perkembangan terkini bioinformatik, sains data dan kecerdasan buatan (AI).
Persidangan bertemakan “Where Bioinformatics Meets AI – Unlocking the Next Era of Discovery” itu menjadi platform antarabangsa yang menghimpunkan penyelidik, saintis, ahli akademik dan pengamal industri untuk berkongsi perkembangan serta inovasi dalam bidang bioinformatik dan biologi pengkomputeran.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab merasmikan persidangan itu di sini baru-baru ini, yang turut memberi tumpuan kepada trend global dalam bioinformatik dan AI.
Sepanjang persidangan, perbincangan memberi tumpuan kepada integrasi AI dalam analisis data genomik, pemodelan struktur protein dan aplikasi sains data biologi dalam bidang perubatan jitu, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan penyelesaian berasaskan teknologi dalam sains hayat.
Antara bidang lain yang diketengahkan ialah genomik dan transkriptomik pengkomputeran, biodiversiti, pembelajaran mesin, bioinformatik struktur dan fungsi, informatik kesihatan, integrasi data serta penemuan ubat.
Persidangan itu turut menampilkan barisan penceramah antarabangsa dan tempatan termasuk Profesor Dr. Kentaro Tomii dari Jepun, Profesor Ana Conesa dari Sepanyol, Profesor Shandar Ahmad, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin, Dr. Adiratna Mat Ripen dan Profesor Dr. Mohd Firdaus Raih.
Penganjuran InCoB/ISCB-APAC 2026 turut memperkukuh jaringan penyelidikan USM dengan institusi serta organisasi antarabangsa, selain menyediakan ruang perkongsian ilmu, teknologi dan hasil penyelidikan terkini kepada komuniti akademik.
Pada masa sama, penglibatan peserta dari pelbagai negara memperluas jaringan kolaborasi strategik di rantau Asia-Pasifik dan meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai lokasi persidangan serta aktiviti akademik antarabangsa dalam bidang bioinformatik, genomik dan AI.
Persidangan yang berlangsung pada 14 hingga 17 September 2026 itu dianjurkan USM bersama University of Malaya, Asia-Pacific Bioinformatics Network (APBioNET), International Society for Computational Biology (ISCB) dan Computational Biology and Bioinformatics Network (COMBIONE).
Selain sesi pembentangan dan perkongsian ilmu, program turut merangkumi sesi poster, jaringan profesional dan lawatan sekitar Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada pengisian persidangan.