USM HARGAI SUMBANGAN WARGA AKADEMIA SEMPENA HARI DAN BULAN AKADEMIA 2026
Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia 2026 dengan menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga akademik universiti, khususnya para pensyarah dan penyelidik yang menjadi tunjang kecemerlangan ilmu dan inovasi.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad, dalam ucapan sempena sambutan tersebut menegaskan bahawa peranan akademia di USM melangkaui bilik kuliah semata-mata.
“Di USM, peranan akademia bukan sekadar menyampaikan ilmu di bilik kuliah. Kita membina pemikiran, menerajui penyelidikan, mencetus inovasi, dan membawa ilmu keluar daripada kampus untuk memberi manfaat dan impak kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru warga akademia untuk terus memperkukuh budaya ilmu dan kecemerlangan akademik selaras dengan tema tahun ini, “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi dalam Akademia”.
“Marilah kita memanfaatkan teknologi secara bermakna serta melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada negara dan dunia,” tambah beliau.
Noor Hazlina turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga akademia USM atas dedikasi dan sumbangan berterusan dalam menggerakkan universiti ke hadapan.
Sambutan Hari Akademia pada 5 Oktober dan Bulan Akademia sepanjang Oktober menjadi wadah bagi USM memperkukuh komitmennya dalam melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing, memacu penyelidikan berimpak tinggi, serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat global.
Sorotan Sambutan Peringkat Kebangsaan
Pada masa sama, Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Majlis tersebut menghimpunkan lebih 1,000 warga akademia dan pelajar IPT dari seluruh negara dengan tema yang sama, “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi Dalam Akademia”.
Dalam ucapan perasmian, Zambry menekankan bahawa warga akademia mempunyai peranan besar dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran, berintegriti, dan berdaya tahan, selain menyumbang kepakaran kepada pembangunan pendidikan tinggi dan negara.
Beliau turut menggariskan lima penekanan utama, termasuk peningkatan mutu pengajaran, kerjasama merentas disiplin, mempercepatkan hasil penyelidikan kepada penggunaan, mendekatkan akademia dengan masyarakat, serta membina ekosistem yang menyokong warga akademia.
Zambry juga menegaskan bahawa dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI), pendidikan tinggi perlu membentuk keupayaan pelajar untuk bertanya dengan tepat, menilai bukti, dan membuat pertimbangan, manakala penggunaan AI mesti dipandu oleh prinsip kejujuran, ketepatan maklumat, perlindungan data, dan penghormatan terhadap hak cipta.
Penekanan ini selaras dengan aspirasi untuk melahirkan graduan yang tajam pemikirannya, kukuh prinsipnya, dan peka terhadap keperluan masyarakat. Aspirasi tersebut hanya dapat direalisasikan menerusi contoh dan teladan warga akademia yang menjunjung tinggi integriti ilmu serta mengamalkan nilai profesionalisme dalam setiap aspek tugas dan tanggungjawab mereka.