Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM HARGAI PASUKAN SDG, PACU KECEMERLANGAN KELESTARIAN GLOBAL

PULAU PINANG · 9 September 2026

Komitmen warga Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memperkukuh agenda kelestarian serta mengharumkan nama universiti amat dihargai dan disifatkan sebagai pemangkin kepada kecemerlangan USM di persada antarabangsa.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menzahirkan penghargaan kepada pasukan SDG dan warga USM atas komitmen serta sumbangan mereka dalam melonjakkan kecemerlangan universiti dalam bidang kelestarian.

Beliau menyifatkan kejayaan yang diraih setiap kumpulan SDG sebagai hasil komitmen, kesungguhan dan usaha berpasukan warga universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian USM, sekali gus mengangkat nama universiti ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Kelestarian Universiti (PKU) atas komitmen jitu pusat tanggungjawab berkenaan dalam menyelaras dan memperkasakan pelaksanaan agenda kelestarian universiti.

Penghargaan itu dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Apresiasi Pasukan THE Sustainability Impact Ratings 2026 yang menjadi wadah untuk menghargai usaha warga universiti yang terlibat dalam pelaksanaan dan pencapaian agenda kelestarian USM, di sini baru-baru ini.

Seramai 120 ahli yang mewakili kumpulan SDG 1 hingga SDG 17 menerima sijil penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memperkukuh agenda kelestarian USM.

Pencapaian berkenaan mencerminkan usaha kolektif merentas jabatan, disiplin, kampus dan kepakaran dalam memastikan agenda kelestarian terus diterjemahkan kepada impak yang bermakna.

Usaha tersebut turut merangkumi penyelidikan, pendidikan, pengurusan kampus, pemindahan ilmu, pemerkasaan komuniti dan jaringan strategik sebagai sebahagian daripada pendekatan kelestarian universiti.

Terdahulu, USM mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelima terbaik dunia dalam THE Sustainability Impact Ratings 2026 daripada 1,603 universiti yang dinilai, selain mengekalkan kedudukan nombor satu di Asia dan Malaysia.

USM turut mempertahankan kedudukan nombor satu dunia bagi SDG 17: Partnerships for the Goals untuk dua tahun berturut-turut, selain berada di tempat kedua dunia bagi SDG 1, ke-11 bagi SDG 14 dan ke-23 bagi SDG 15.

Secara keseluruhan, sebanyak 13 SDG USM berada dalam kelompok 100 terbaik dunia, sekali gus memperlihatkan pencapaian kukuh universiti dalam memperluas impak agenda kelestarian di peringkat global.

Teks: Anis Solehah Zulkifli, Intern@MPRC, USM
Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq