Skip to main content

USM GERAKKAN 30 SUKARELAWAN, RINGANKAN BEBAN PENDUDUK TERJEJAS BANJIR DI PULAU PANGKOR

BERITA MUTAKHIR
PULAU PINANG · 20 Oktober 2026

Seramai 30 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) digerakkan ke Pulau Pangkor bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat menerusi kerja-kerja pembersihan pascabanjir serta penyaluran 30 kotak bantuan makanan kering bagi meringankan beban mereka.

Misi Sukarelawan Bantuan Pascabanjir Pulau Pangkor itu mencerminkan komitmen USM sebagai universiti APEX yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya dalam membantu komuniti memulihkan kediaman dan persekitaran selepas dilanda bencana.

Misi anjuran Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM menerusi Sekretariat Sukarelawan AUSM Awesome itu turut disertai tiga pegawai pengiring, dan bergerak dari kampus induk, di sini semalam.

Menurut Pegawai Penyelaras Misi, Ahmad Heidey Iskandar Mohd Rayhan, misi berkenaan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan, gotong-royong, bantuan pemulihan pascabanjir serta sokongan kepada komuniti berdasarkan keperluan semasa di lapangan.

Beliau berkata, kehadiran sukarelawan USM diharap dapat membantu mempercepat usaha membersihkan kawasan terjejas, sekali gus meringankan beban penduduk dalam memulihkan kediaman dan meneruskan kehidupan harian selepas bencana.

“Selain menyumbangkan tenaga, USM turut menyalurkan 30 kotak bantuan makanan kering untuk membantu memenuhi keperluan asas penduduk yang terjejas,” katanya sambil menyifatkan usaha itu turut mendapat sokongan Persatuan Alumni USM (PAUSM).

PAUSM turut menyumbangkan makanan kering untuk diagihkan kepada penduduk terjejas, dan sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan dan semangat kebersamaan warga alumni dalam menyokong usaha kemanusiaan universiti, sekali gus memperkukuh hubungan antara mahasiswa, alumni dan masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, berkata penglibatan mahasiswa dalam misi bertemakan “Bersama Membina Semula Harapan” itu selari dengan aspirasi universiti untuk “Membina Harapan, Menjana Kelestarian”.

“Misi ini bukan sekadar membersihkan lumpur, tetapi membina semula harapan dan menunjukkan bahawa mahasiswa USM sentiasa bersama rakyat ketika ditimpa musibah.

“Inisiatif ini turut memperlihatkan peranan mahasiswa sebagai sukarelawan yang bukan sahaja menyumbang tenaga dalam kerja pemulihan, malah mendekati masyarakat dan membantu meringankan beban mereka ketika berhadapan dengan kesan bencana,” katanya.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, USM akan terus komited memastikan mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut menjadi agen perubahan yang membawa manfaat kepada masyarakat secara ikhlas dan penuh empati.

Katanya, komitmen itu penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, malah mampu menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan masyarakat.

Penyertaan USM itu merupakan sebahagian daripada Misi Sukarelawan Mega @ Pangkor yang menghimpunkan 778 sukarelawan daripada 18 universiti awam (UA) seluruh negara, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 19 Oktober 2026.

Misi yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, itu melibatkan 625 pelajar dan 153 staf, selain merangkumi sumbangan 520 bakul makanan, toto dan bantal.

Banjir kilat yang melanda Pulau Pangkor pada 18 Oktober lalu dilaporkan berlaku susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam bermula pada pukul 4 pagi. Kejadian itu menyebabkan air naik sehingga paras pinggang dan memasuki kediaman penduduk sebelum surut antara pukul 9 hingga 10 pagi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak yang dipetik media, sembilan kawasan dikenal pasti terjejas teruk, iaitu Kampung Sungai Pinang Besar, Kampung Masjid, Kampung Teluk Kecil, Kampung Hussin, Teluk Gedung, Kampung Tengah, Rumah Murah, Taman Pangkor Mutiara dan Taman Sri Pangkor.

Penglibatan sukarelawan USM dalam misi ini mencerminkan komitmen universiti untuk terus menyantuni masyarakat, khususnya dalam membantu komuniti yang terjejas akibat bencana bangkit dan membina semula kehidupan mereka.

Teks: BHEPA USM / Pusat Media dan Perhubungan Awam
Foto: Sekretariat Sukarelawan AUSM Awesome / BHEPA USM