USM GABUNG STEM DAN PSIKOSOSIAL, PERKASA PENUAAN AKTIF MELALUI PEMBELAJARAN KOMUNITI
Pendidikan sains tidak seharusnya terhenti di bilik darjah atau terhad kepada golongan muda. Menerusi program Science @ Masjid (SAM) 2026, Universiti Sains Malaysia (USM) membawa pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) lebih dekat kepada golongan pesara, suri rumah dan warga emas dengan menggabungkan eksperimen sains secara amali, aktiviti interaktif serta pendidikan kesejahteraan psikososial bagi menyokong penuaan aktif.
Dilaksanakan menerusi tiga sesi dari Ogos hingga Oktober 2026 dengan kerjasama Masjid Al-Huda Sungai Ara (MAHSA), program itu melibatkan 30 peserta berusia antara lewat 40-an hingga 74 tahun. Pendekatan yang digunakan membolehkan peserta meneroka konsep matematik, fizik dan kimia melalui aktiviti praktikal dalam suasana pembelajaran yang santai, sekali gus membuka ruang kepada golongan dewasa untuk terus menimba ilmu dan mengembangkan potensi diri.
Program yang diterajui Pensyarah Kimia di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM, ChM Dr. Nurul Syafiqah Rezali itu memperluas kumpulan sasaran pendidikan STEM yang sebelum ini banyak melibatkan murid sekolah kepada golongan pertengahan usia dan warga emas.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk permainan matematik seperti cabaran tangram dan detektif nombor, eksperimen fizik menerusi penciptaan robot LED dan penerokaan konsep pembiasan cahaya, serta eksperimen kimia seperti pengekstrakan kafein daripada teh dan penghasilan surat rahsia menggunakan kunyit.
Peserta turut meneroka konsep pusat graviti, polimer dan regangan melalui aktiviti mencucuk belon menggunakan lidi tanpa memecahkannya. Pelbagai eksperimen ini memberi peluang kepada mereka memahami prinsip saintifik melalui pemerhatian, percubaan dan pengalaman secara langsung, di samping menghubungkan ilmu dengan situasi kehidupan seharian.
Melalui aktiviti tersebut, peserta berpeluang melatih pemikiran logik, meningkatkan ketelitian dan kemahiran menyelesaikan masalah serta mengasah koordinasi mata dan tangan. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini turut menyediakan ruang untuk merangsang fungsi kognitif dan psikomotor, selain menggalakkan interaksi serta perkongsian pengalaman sesama peserta.
Pelaksanaan aktiviti amali dibantu oleh fasilitator yang terdiri daripada pensyarah Kimia dan Fizik, pegawai sains serta pembantu makmal PPPJJ bagi membimbing peserta sepanjang eksperimen dijalankan.
Keunikan SAM 2026 turut terserlah menerusi gabungan pendidikan STEM dengan elemen psikologi bagi melihat pembangunan warga emas secara lebih menyeluruh, bukan sekadar dari sudut penguasaan ilmu, malah merangkumi kesejahteraan emosi dan hubungan sosial.
Pada majlis pembukaan program, Pegawai Psikologi Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Mohd Zulkhairi Ibrahim turut menyampaikan bicara komuniti bertajuk Kesejahteraan Psikososial dan Active Ageing.
Beliau membincangkan perubahan biologi, psikologi, psikososial dan spiritual yang dialami apabila seseorang memasuki fasa akhir dewasa, termasuk kepentingan hubungan sosial dan penglibatan aktif dalam masyarakat.
“Penglibatan sosial dan aktiviti komuniti seperti program SAM 2026 ini membantu mengekalkan rasa penghargaan kepada diri serta memberi ruang kepada anda untuk berinteraksi, mengekalkan kecergasan minda, berkongsi pengalaman dan terus aktif,” katanya.
Pengisian tersebut melengkapkan aktiviti STEM dengan perspektif kesejahteraan psikososial, sekali gus menekankan kepentingan menyediakan ruang kepada warga emas untuk terus belajar, berinteraksi dan melibatkan diri dalam komuniti.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Qariah MAHSA, Akbar Ali Yusof Gani pula berkata pihaknya menyokong inisiatif berkenaan kerana masjid berpotensi menjadi ruang pembelajaran yang terbuka kepada masyarakat tanpa mengira peringkat usia.
“Pembelajaran tidak semestinya berlaku dalam bilik darjah. Konsep pembelajaran sepanjang hayat memberi peluang kepada masyarakat untuk terus belajar, bertanya dan berkongsi ilmu, walaupun selepas bersara dan tidak lagi berada dalam alam persekolahan,” katanya.
Kerjasama antara USM, UiTM Cawangan Pulau Pinang dan MAHSA memperlihatkan nilai pendekatan rentas disiplin dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan komuniti. Penggunaan masjid sebagai ruang pembelajaran setempat turut membuka peluang kepada masyarakat untuk mengakses ilmu dalam persekitaran yang dekat dengan kehidupan harian mereka.
Dalam konteks penuaan aktif, pendekatan ini penting bagi menggalakkan warga emas terus melibatkan diri dalam aktiviti bermakna, membina hubungan sosial dan mengekalkan minat terhadap pembelajaran. Gabungan STEM dan psikososial dalam satu program komuniti turut memperlihatkan potensi kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, institusi keagamaan dan pakar psikologi dalam memperluas manfaat ilmu kepada masyarakat.
SAM 2026 dijadualkan melabuhkan tirainya menerusi sesi penutup pada November 2026. Pelaksanaannya turut menyokong aspirasi Dasar Warga Emas Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), khususnya dalam menggalakkan penuaan aktif melalui pembelajaran sepanjang hayat, penglibatan sosial dan pengukuhan jaringan komuniti.
Berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk Malaysia pada 2026 dianggarkan seramai 34.4 juta orang, dengan 4.2 juta orang atau 12.3 peratus daripadanya terdiri daripada warga emas. Perkembangan demografi ini mengukuhkan kepentingan usaha menyediakan peluang pembelajaran dan penglibatan sosial yang bermakna bagi menyokong kesejahteraan golongan tersebut.
Menerusi SAM 2026, USM memperkukuh peranan universiti dalam membawa kepakaran akademik keluar dari kampus untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam membina masyarakat inklusif yang menghargai warga emas, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan membuka ruang kepada setiap generasi untuk terus menyumbang kepada komuniti.