Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM-DBP PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK – ANJUR SYARAHAN PERDANA, LANCAR BUKU TERBITAN BERSAMA

USM, PULAU PINANG · 15 Oktober 2026

Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Penerbit USM dengan kerjasama Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) telah menganjurkan Majlis Syarahan Perdana bertajuk Bahasa Melayu: Bahasa Ilmu dalam Era Digital dan Kecerdasan Buatan di Dewan Budaya, USM hari ini.

Syarahan Perdana tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hazami Jahari, yang juga merupakan alumni ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM.

Dalam syarahan tersebut, Hazami menekankan dalam era digital dan kecerdasan buatan, keupayaan sesuatu bahasa tidak lagi hanya diukur melalui keluasan penggunaannya dalam komunikasi, tetapi juga melalui kemampuannya mendukung penyelidikan, inovasi, pembangunan teknologi, dan penghasilan pengetahuan baharu. Beliau turut menegaskan bahawa bahasa Melayu perlu terus diperkaya dari segi kandungan digital dan data bahasa agar mampu memenuhi tuntutan perkembangan ilmu semasa.

Majlis berkenaan turut menyaksikan peristiwa bersejarah menerusi penandatanganan dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM dan DBP. Pihak USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab, manakala DBP disempurnakan oleh Datuk Dr. Hazami Jahari. Kerjasama ini bertujuan memperkasakan program penyelidikan, pendidikan, penerbitan, dan latihan.

Pelaksanaan MoA secara khususnya merangkumi usaha sama penerbitan menerusi Projek Penerbitan Tesis Kepada Buku 2026 yang telah dimulakan sejak Januari lalu. Kemuncak majlis disusuli dengan pelancaran empat (4) judul Buku Terbitan Bersama USM-DBP yang disempurnakan secara bersama oleh Habibah dan Hazami.

Empat buku terbaharu yang dilancarkan merangkumi pelbagai bidang ilmu:

• Ufti, Krisis dan Diplomatik China-Vietnam dalam Pemberontakan Tay Son Bersaudara 1771-1802 – karya Dr. Ku Boon Dar
• Minuman Bergula: Isu Kesihatan dan Ekonomi – karya Profesor Madya Dr. Nor Asmat Ismail
• Design of RF Power Amplifier Integrated Circuits – karya Profesor Madya Dr. Jagadheswaran Rajendran
• Strategi Nutrisi untuk Pencegahan Osteopenia Atlet Wanita – karya Dr. Nur Syamsina Ahmad

Inisiatif dan kolaborasi strategik ini membuktikan komitmen berterusan USM dan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, merancakkan wacana akademik, serta memperluas jaringan penerbitan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Teks: Nazlie Amri Abdul Rahim, Penerbit USM
Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq