Skip to main content
BERITA MUTAKHIR

USM DAN JABATAN MUFTI NEGERI PULAU PINANG PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK MELALUI MESYUARAT PENYELARASAN KONVENSYEN FALAK NEGERI PULAU PINANG 2026

PULAU PINANG · 7 Ogos 2026

USM, PULAU PINANG, 7 Ogos 2026 – Kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Sains Fizik (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (JMNPP) terus diperkukuh menerusi Mesyuarat Penyelarasan Konvensyen Falak Negeri Pulau Pinang 2026, yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman itu diadakan bagi memperkemas persiapan penganjuran Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 15 Oktober 2026 di USM.

Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang ini dianjurkan bersama oleh PPSF dengan kerjasama JMNPP dan menjadi mercu tanda kolaborasi antara kepakaran sains dan kepakaran syariah dalam bidang falak di peringkat negeri.

Turut hadir ialah Dekan PPSF, Profesor Madya Dr. Azhar Abdul Rahman; Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibul Fadhilah Ustaz Mohamad Zamri Mohamed Shapik; para pengarah dan wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM serta agensi berkaitan, selain ahli jawatankuasa pelaksana daripada JMNPP dan USM.

Dalam ucapan aluannya, Azhar merakamkan penghargaan kepada JMNPP atas kepercayaan yang diberikan kepada USM sebagai rakan strategik dalam penganjuran konvensyen tersebut. Beliau turut menyifatkan penganjuran konvensyen di USM sebagai satu peluang penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi akademik dengan institusi agama, khususnya dalam mengembangkan ilmu falak yang merentas disiplin sains dan syariah.

Bagi pihak USM, Pensyarah bidang Astronomi dan Sains Angkasa PPSF, Dr. Idahwati Sarudin dilantik sebagai Penyelaras Utama Jawatankuasa Pelaksana (LOC) dan bertanggungjawab menyelaras hubungan rasmi serta perancangan teknikal dan akademik antara PPSF dengan JMNPP sepanjang tempoh persiapan dan pelaksanaan konvensyen.

Dr. Idahwati turut dijadualkan membentangkan kertas kerja bertajuk “Langit di Era Sains Angkasa: Cabaran Pencemaran Cahaya, Gangguan Plasma & Aktiviti Matahari terhadap Cerapan dan Navigasi Falak” pada konvensyen berkenaan.

Sebagai simbolik hubungan kerjasama yang erat antara kedua-dua pihak, mesyuarat turut disusuli dengan sesi pertukaran cenderamata antara PPSF dan JMNPP sebagai tanda penghargaan serta semangat muhibah dalam menjayakan penganjuran konvensyen tersebut.

Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang akan berlangsung di Dewan Utama Pelajar dan Padang Kawad USM itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya simposium akademik, sesi cerapan falak, pameran STEM, planetarium mudah alih serta aktiviti pelancaran roket air.

Penganjuran konvensyen ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang menyumbang kepakaran serta kepakaran teknikal masing-masing, termasuk USM, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Pulau Pinang, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Turut terlibat ialah Pertubuhan Astronomi Pulau Pinang dan Sahabat Langit Utara (SALUT), yang masing-masing menyumbang kepakaran dan sokongan dalam bidang astronomi serta pendidikan falak.

Konvensyen selama dua hari itu dijangka menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada pegawai Jabatan Mufti negeri-negeri, ahli Jawatankuasa Falak Negeri seluruh Malaysia, wakil agensi kerajaan termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), JUPEM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), ahli akademik, penyelidik, pelajar serta penggiat dan peminat astronomi. Selain peserta konvensyen, program tersebut turut dijangka menarik kira-kira 5,000 pengunjung sepanjang penganjuran.

Kerjasama antara USM dengan JMNPP ini mencerminkan pendekatan bersepadu dalam mengembangkan ilmu falak melalui penggabungan kepakaran teknikal dan saintifik Pusat Pengajian Sains Fizik dengan kepakaran hukum syarak serta pentadbiran agama JMNPP. Pendekatan rentas disiplin ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi akademik dengan institusi agama, malah berpotensi menjadi model kolaborasi yang boleh dikembangkan dalam bidang falak, astronomi Islam, pendidikan dan penyelidikan pada masa hadapan.

Konvensyen Falak Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 diharapkan dapat menjadi wadah perkongsian ilmu dan kepakaran dalam bidang falak dan astronomi Islam, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu astronomi serta memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu pusat pengembangan wacana falak di peringkat negeri.

Teks: Dr. Idahwati Sarudin, PP Sains Fizik
Foto: Dr. Idahwati Sarudin, PP Sains Fizik