USM CIPTA KEJAYAAN DI PENTAS ANTARABANGSA, RANGKUL TIGA PENGIKTIRAFAN UTAMA ‘ESG GLOBAL YOUNG LEADERS SUMMIT 2026’

TERENGGANU, 9 Ogos 2026 – Delegasi kepimpinan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) melakar kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila berjaya merangkul tiga pengiktirafan utama dalam penganjuran ‘ESG Global Young Leaders Summit 2026’ yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.
Pencapaian tersebut sekali gus mencerminkan keupayaan mahasiswa USM dalam mengetengahkan pemikiran strategik, inovasi serta pendekatan kepimpinan yang berteraskan prinsip ‘Environmental, Social and Governance’ (ESG), khususnya dalam aspek tadbir urus yang mampan dan berintegriti.

Delegasi USM mencatatkan prestasi cemerlang dalam kategori ‘Governance’ apabila dinobatkan sebagai penerima ‘Best Poster Award’ (Category Governance) dan ‘Best Presenter Award’ (Category Governance).
Kedua-dua pengiktirafan tersebut merupakan hasil daripada pembentangan yang menampilkan analisis kritikal, pendekatan strategik serta cadangan yang relevan dalam memperkukuh amalan tadbir urus mampan/lestari.

Kejayaan berkenaan turut mencerminkan kekuatan kolaborasi antara barisan kepimpinan mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM dan Sekretariat Rakan Muda USM (SRMUSM) yang berganding bahu membawa aspirasi serta perspektif mahasiswa ke pentas antarabangsa.
Delegasi USM terdiri daripada:
- Muhammad Afiq Hasraf Hazly – Naib Yang Dipertua 1, MPP USM
- Alisha Sofea Muhd Hafeez – Bendahari Kehormat, MPP USM
- Mohammad Abbs Isrun – Eksekutif Perhubungan Luar dan Antarabangsa, MPP USM
- Muhammad Zafrul Rahizan – Naib Yang Dipertua 1, SRMUSM 2026/2027
- Finnie Felixcy Anak Sugu – Naib Yang Dipertua 2, SRMUSM 2026/2027

Melengkapkan kejayaan delegasi USM, Muhammad Zafrul Rahizan, Naib Yang Dipertua 1, Sekretariat Rakan Muda USM (SRMUSM) 2026/2027, turut menerima pengiktirafan apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 5 ESG Icons.
Pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan komitmen dan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan agenda kelestarian, khususnya dalam aspek ketahanan iklim, keadilan sosial dan tadbir urus berintegriti.
Pencapaian di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja mengangkat nama USM, malah membuktikan bahawa mahasiswa mampu memainkan peranan strategik sebagai pemangkin perubahan dalam membentuk masa hadapan yang lebih lestari, inklusif dan berdaya tahan.
Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga USM untuk terus memperkasa inovasi, memperkukuh kolaborasi serta melestarikan komuniti, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan mampu membawa perubahan di peringkat global.
Teks & Foto: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), USM
Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), USM