USM B JUARA PESTA HOKI USM-PENANG INTERNATIONAL KE-49, RANGKUL PIALA PUSINGAN DYMM SULTAN AZLAN SHAH
USM PULAU PINANG, 17 November 2026 – Pasukan hoki Universiti Sains Malaysia (USM) B melakar sejarah apabila muncul juara kategori Lelaki Terbuka Premier pada Pesta Hoki USM-Penang International Ke-49 selepas menewaskan Rajawali Ultra 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki USM, di sini, baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan skuad mahasiswa USM tersebut menjulang Piala Pusingan DYMM Sultan Azlan Shah selain membawa pulang piala iringan, pingat, hadiah wang tunai RM3,000 serta barangan tajaan daripada MILO Malaysia dan Afta Motor Sdn. Bhd.
Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow, yang menyaksikan perlawanan akhir dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, berkata kejohanan yang mula diperkenalkan sejak 1973 itu merupakan antara acara sukan berprestij yang terus mendapat sambutan serta mengekalkan nilai sejarahnya.
"Saya amat berbangga melihat kejohanan ini terus berkembang dengan nilai sejarahnya yang tersendiri. Lebih membanggakan, penganjuran acara berskala besar ini diterajui sepenuhnya oleh mahasiswa USM, sekali gus membuktikan keupayaan mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah unggul dalam aspek kepimpinan dan pengurusan," katanya.
Chow turut berkata kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan hoki, malah berperanan membentuk mahasiswa yang berdaya saing, berdisiplin, dan mampu berfungsi sebagai pemimpin masa hadapan melalui pengalaman mengurus serta menganjurkan program berimpak tinggi.
Sementara itu, Pengerusi Pesta Hoki USM-Penang International Ke-49, Dhinesaan Ravichandran berkata kejohanan yang kini memasuki edisi ke-49 itu merupakan antara tradisi sukan yang menjadi identiti USM sejak sekian lama.
Menurut beliau, kesinambungan penganjuran kejohanan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menyediakan platform kompetitif kepada atlet untuk mengasah bakat, meningkatkan prestasi dan menguji kemampuan masing-masing di peringkat lebih tinggi.
Majlis penutupan kejohanan itu turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Mohd Fadhil Mohamad.
Turut hadir Pengurus Kawasan Jualan Cuckoo International (M) Bhd. Mohamed Hizir Ali, barisan jawatankuasa penganjur kejohanan serta pegawai-pegawai BHEPA dan Pusat Sukan dan Rekreasi, USM.
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan, BHEPA USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe