Skip to main content

USM, ANGKASA TEROKA KERJASAMA STRATEGIK PERLUAS AKSES PENDIDIKAN DAN BANGUNKAN MODAL INSAN

BERITA MUTAKHIR
USM PULAU PINANG · 19 Ogos 2026

USM PULAU PINANG, 19 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) meneroka potensi kerjasama strategik dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan serta pengukuhan hubungan antara kedua-dua organisasi.

Perbincangan itu memberi tumpuan kepada peluang kolaborasi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi, pembangunan profesional serta meningkatkan kompetensi warga koperasi dan komuniti.

Antara bidang kerjasama strategik yang dikenal pasti ialah pelaksanaan penyelidikan berimpak, projek libat sama komuniti, penerbitan bersama, program persijilan profesional, pembangunan mikrokredensial serta inisiatif yang berpaksikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Timbalan Presiden ANGKASA, Profesor Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik hadir bersama Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak, serta beberapa pegawai kanan organisasi berkenaan.

USM pula diwakili Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa PPPJJ, Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor; Pensyarah Kanan Bidang Sains Politik, Dr. Faridah Jaafar; dan Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab.

Kerjasama strategik antara USM dan ANGKASA itu mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi untuk memperkukuh jaringan strategik serta meneroka inisiatif baharu yang berimpak terhadap pembangunan pendidikan, modal insan dan masyarakat.

PPPJJ USM berharap perbincangan berkenaan dapat menjadi asas kepada kerjasama yang lebih erat, tersusun dan berterusan antara kedua-dua pihak menerusi pelaksanaan program kolaborasi yang memberi nilai tambah serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem pendidikan dan koperasi negara.

Teks: Mohd Rashid Abdul Rejab, PPPJJ
Foto: Mohd Rashid Abdul Rejab, PPPJJ